BAB 5
Dah seminggu Athiya berada di rumah agam ini. Dia mula membiasakan diri. Elman? Hurmm... Athiya tak tahu nak komen apa. Lelaki itu buat dia macam halimunan. Seolah-olah dia tak wujud. Tapi bagus juga, Athiya jadi selesa dengan layanan begitu. Sebab dia tak suka konfrontasi.
Selepas kejadian ditinggalkan ditepi jalan oleh Elman hari itu, Athiya rasa dia masih belum dapat berhadapan dengan Elman. Dia boleh bertentang mata. Tapi dia belum boleh bercakap dengan Elman. Cukuplah Elman buat dia rasa seperti sampah waktu itu.
“Sedaplah kak Aya masak.” Mawar dari tadi tak berhenti mengunyah.
Itu cupcake yang ketiga dah untuk Mawar. Nikmat sungguh Mawar menghabiskan cupcake di tangannya. Memang sungguh menghayati.
“Akak ikut resepi dalam FB je.” Athiya menghirup teh. Terasa aroma strawberi. Nikmat.
“Akak memang pandai masak. Sebab tu masak apa pun jadi. Kalau Mawar memang tak lepaslah nak masak macam ni.”
Kagum betul Mawar dengan Athiya. Dahlah baik. Lemah lembut. Pandai pula tu. Memang beruntung abang dia miliki Athiya. Bukan macam Athila yang nampak je cantik tapi perangai hancur. Cuma abang dia je yang buta tak nampak semua itu.
“Mawar boleh. Cantik taman mama ni.” Athiya tersenyum manis.
Dia tahu adik iparnya boleh je memasak. Cuma Mawar ni jenis malas ke dapur sedikit. Mungkin belum minat. Ataupun minat berbeza. Macam dia lebih suka memasak daripada berkebun begini. Tak sanggup rasanya duduk bawah panas semata-mata untuk sepokok bunga. Tak dan dia.
“Mama memang suka kan bunga, kak Aya. Kalau pasal bunga, mama memang sanggup berhabis. Akak minat bunga?” Anak mata Mawar menikam seluruh taman bunga mamanya.
“Akak sukakan bunga tapi tak suka tanam bunga.” Athiya tergelak dengan kata-kata sendiri. Ya dia memang suka bunga. Tapi dia tak suka menanam bunga.
Mawar turut tergelak besar dengan kata-kata Athiya. “Samalah kita kak. Mawar, nama je bunga tapi tak minat pun bunga.”
“Lawaklah Mawar ni.” Athiya menggeleng perlahan kepalanya. Ada-ada saja adik ipar dia ni.
“Abang layan akak, okay ke?” Mawar tak dapat menahan dirinya untuk menyibuk. Matanya mencari kejujuran disebalik riak Athiya.
“Okay je.” Athiya mencapai sebiji kek cawan. Dia mengelak daripada memandang Mawar. Takut nampak dia tidak jujur dengan jawapan sendiri. Bagi Athiya sekejam mana pun layanan Elman padanya. Lelaki itu tetap suaminya dan dia perlu menjaga aib rumah tangga mereka.
“Along tu baik. He the best brother ever. Mawar yakin kalau satu masa nanti abang dah jatuh cinta pada akak. Memang akak adalah perempuan yang paling bertuah dalam dunia.” Mawar tayang wajah penuh keyakinan. Dia berani potong jari lah. Wajib punya satu masa nanti abang dia akan jatuh cinta juga dengan Athiya. Dan waktu itu, biar Athila tu frust menonggeng.
Panjang umur Elman. Tak sempat Athiya hendak mengulas apa-apa, Elman datang dengan segelas air oren ditangan. Lelaki itu melabuhkan punggung di sebelah Mawar dan secara tidak langsungnya bertentang mata dengan Athiya.
“Bual apa ni?” Elman mengambil sebiji cupcake. Nampak macam sedap. Tambah berselera dia apabila melihat Mawar yang menjilat krim dijari dengan penuh nikmat.
“Kami tengah mengumpat along. Sedap kan cupcake ni? Kak Aya yang buat tau.” Mawar memuji kakak iparnya. Keningnya menari mengusik abangnya yang baru hendak merasa kek cawan tersebut.
“Suka makan manis. Nanti jadi gemuk baru tahu.” Perli Elman.
Lain orang yang di perli. Lain orang yang terasa. Athiya rasa macam ada anak panah yang menusuk ke hatinya. Eh... cik hati. Kita ke yang kena perli tu? Memang kita lah rasanya. Cik tubuh kita je yang comel kat sini. Tak kan pula Mawar yang langsing dan tinggi lampai tu pulak yang kena perli.
“Along ni kan. Suka nak sakitkan hati orang. Dahlah Mawar masuk dulu.” Mawar pura-pura sentap. Dia saja nak bagi peluang untuk abangnya kenal-kenal dengan isteri sendiri. Romantik apa? Duduk berdua di taman bunga sambil minum petang.
Tak sempat Athiya hendak menahan, Mawar dah menghilangkan diri. Sekarang Athiya pula yang rasa janggal di tinggalkan berdua dengan Elman. Hendak pergi, dia rasa serba salah dengan Elman yang masih minum petang. Hendak terus duduk di situ, dia tak tahu nak berbual apa dengan Elman.
"Hmmm memang sedap cupcake ni. Pandai kau buat." Tiba-tiba Elman bersuara. Dia mengambil satu lagi kek cawan itu. Ada rasa peanut butter. Dia suka.
"Hah... Terima kasih." Tergagap Athiya dibuatnya. Dia macam tak percaya dengan apa yang dia dengari. Elman tengah memuji dia ke?
"Memang sedap. Patutlah mama sayangkan kau. Rajin. Pandai mengemas. Pandai mengurus rumah. Pandai masak..."
Athiya rasa kembang dipuji oleh Elman begitu. Wajahnya tertunduk memandang meja. Malu. Cuma macam ada sesuatu yang tak kena. Entah kenapa hatinya ragu dengan pujian Elman. Dia mahu kata-kata itu terhenti di situ saja. Sebab dia risau kalau pujian itu adaa sambungan yang menyakitkan.
"Memang sesuai jadi the perfect helper" Elman tersenyum sinis.
Strike #1. Mati senyuman Athiya. Gelaran 'Perfect helper' tu kedengaran seperti bibik di telinganya. Penghinaan secara terancang rupanya. Cik hati! Kita terguris.
Lama Athiya terdiam dibuatnya. Tak pasal-pasal hari ini dia dapat gelaran ‘BIBIK’.
Bulat mata Athiya memandang Elman disaat dengan tiba-tiba Elman menarik tangannya yang tersadai di atas meja. Tubuh Athiya ikut mengeras. Macam ada renjatan elektrik apabila kulit Elman menyapa kulitnya. Ehh... Mamat ni. Tadi bukan main sedap lelaki itu memerlinya. Sekarang nak pegang-pegang pula.
"Mama yang bagi Aya tadi." Athiya bersuara apabila Elman mengusap gelang jade di pergelangan tangannya. Padanlah, tiba-tiba suaminya sudi menyentuh dia. Pasti sebab gelang hadiah daripada ibu mertuanya.
"Ini gelang pusaka keluarga aku. Tok Ma yang beri pada mama sebagai hadiah perkahwinan." Senada saja Elman bersuara.
Dia macam tak percaya mama nya dengan mudah menghadiahkan gelang warisan keluarga itu kepada Athiya. Sebelum ini dia pernah meminta gelang itu untuk Athila tapi berbagai alasan yang mama dia berikan. Kenapa dengan Athiya mudah saja mama dia menyerahkan simbol keluarga mereka. Tanda Athiya diterima sebagai menantu dalam keluarga Megat Ehsan.
"Tahu. Tadi mama ada cerita kat Aya dan Mawar. Cantik gelang ni." Athiya menarik tangannya. Dia segan apabila Elman terus menerus mengusap gelang itu. Dia jadi gabra apabila tangan dia dan Elman bersentuhan.
"Ya cantik dan berharga. Aku ingat gelang ini akan jadi milik Athila. Tentu cantik kalau Athila yang pakai. Sesuai dengan orangnya. Tapi tak sangka..." Jujur Elman katakan dia tak pernah menyangka akan ada gadis lain memakai gelang itu selain Athila.
Strike #2. Sentap. Memang Athiya sentap. Dia terdiam lagi. Matanya memberat dengan airmata. Rupanya gelang yang dia pakai ini bukan miliknya. Bukan terniat untuknya. Sekali lagi dia yang kedua selepas Athila.
"Tapi it's okay. Dah rezeki kau. Aku kagum dengan kau. Hebat juga kau ni rupanya. Baru seminggu kat sini, mama dah hadiahkan macam-macam. Murah rezeki." Elman memerli tanpa belas kasihan. Mukanya selamba saja sambil tangannya. menyuap suapan terakhirnya. Kemudian dia bangun meninggalkan Athiya yang menitiskan airmata.
Home run buat Elman kerana berjaya buat Athiya rasa jijik. Dia jijik dengan diri sendiri. Athiya menarik keluar gelang berwarna hijau Emerald itu dari tangannya. Terguris tangannya terkena besi di hujung gelang. Luka dan berdarah.
Athiya membiarkan airmata membasahi pipinya. Dia menangis bukan kerana luka di tangan tapi kerana luka di hati yang semakin parah. Dia tak berdaya untuk terus kuat. Kali ini Elman berjaya memijak maruahnya. Athiya merenung gelang yang tercalit sedikit dengan darahnya.
Barulah dia sedar bukan saja dia tak layak, malah terlalu hina untuk memiliki gelang itu. Bererti bukan saja dia tak layak untuk Elman, tapi juga dia terlalu hina untuk terus bersama lelaki itu.