Saturday, September 9, 2017

BAB 3 : Setia Menunggu

BAB 3



Semalaman Athiya tak boleh lelapkan mata. Kepalanya sarat dengan masalah dan perasaannya tak menentu. Ditambah lagi dengan ketidakpastian yang rasakan. Dia tidak pasti apa yang akan terjadi pada masa akan datang membuatkan fikirannya semakin berat. Semakin sukar untuk dia melelapkan mata.

Berdiri dihadapan katil, Athiya menggaru kepala yang masih diselubung telekung. Matanya tunak memerhatikan Elman yang masih lena. Dia baru selesai solat subuh. Sekarang ini dia tengah berteka-teki sama ada nak kejutkan Elman atau tidak. Hendak kejutkan dia takut kena marah dengan Elman. Tapi kalau dia tak kejutkan Elman, dia pula sama-sama ada saham akhirat sebab Elman tak solat pagi ini.

Arghh... Lebih baik Elman yang marahkan dia daripada dia berdosa. Perlahan-lahan Athiya menyentuh ibu kaki Elman. Di goyang-goyang perlahan sambil bibirnya menyeru nama Elman. Meminta lelaki itu bangun dan solat subuh. Berkali-kali jugalah dia terpaksa melakukan hal itu sebelum Elman terbangun dan terus menjerit.

“Makk!!!” Elman melompat kebelakang sehingga kepalanya terkena kepala katil.

Hilang terus mamainya. Elman terkejut sehingga dia boleh terduduk bersandar di kepala katil. Conforter ditarik rapat menutup separuh mukanya. Mana dia tak terkejut. Sebaik dia buka mata dan dalam rabun, dia nampak ada lembaga putih berdiri di hujung kakinya. Sedang memegang kakinya pula tu. Mahu tak melayang semangatnya sekejap.

“Abang... Aya ni.” Athiya pantas memperkenalkan diri.

Bibirnya dikemam rapat untuk menahan ketawa yang sipi-sipi lagi nak terlepas. Hiburan dipagi hari. Memang lawak sungguh rupa suaminya terkejut. Yang tak tahan tu, Elman siap panggil ‘mak’ lagi. Memang hilang terus lagak lelaki ego and macho Elman. Anak mak rupanya suami itu.

“Aya.” Sepotong nama itu meniti dibibir Elman.

Berkerut dahi Elman. Dia bagai cuba mengingati sepotong nama itu sambil tangannya sudah melepaskan conforter yang menutup wajahnya tadi. Selimut tebal dan selesa itu sudah jatuh ke dadanya. Otak Eman segera memproses maklumat. Barulah dia teringat semalam dia sudah bernikah dengan Athiya. AYA.,,

“Astaghfirullah... Apa kau buat ni? Dengan lampu tak buka semua. Berdiri pakai telekung macam tu. Kau nak bunuh aku ke apa???” Elman memandang garang ke arah Athiya. Dadanya berombak menahan geram.

“Aya nak kejutkan abang solat subuh. Dah subuh ni.” Perlahan saja suara Athiya membalas. Terkebil-kebil mata dia kena marah oleh Elman. Pagi-pagi dah kena marah. Hilang rasa hendak ketawa. Digantikan dengan rasa seram. Rasa hendak terkucil pun ada.

“Hurm... Kalau ya pun. Yang kau berdiri dalam gelap ni apa hal. Kau pergi on semua lampu. Hish kau ni.” Rungut Elman. Hilang macho dia pagi ni.

“Ya. Abang bangunlah. Solat subuh. Tak elok lewat-lewatkan solat.” Perlahan sekali suara Athiya. Risau dia kalau kena sembur lagi oleh Elman.

“Ya. Jangan pandai nak ceramah orang je. Kau tu dah solat belum?” Elman mencebikkan bibir. Baru hari pertama bergelar suami, dia dah ditegur isteri sendiri. Tercabar juga rasa hati.

“Dah. Aya baru je lepas solat.”Athiya membalas lembut.

Athiya mencapai alat kawalan dan menekan punat pada alat tersebut, untuk menghidupkan semua lampu. Seperti yang di arahkan oleh suaminya. Senang sungguh jadi Elman. Bilik lengkap dengan alatan moden macam tu. Dia juga yang jadi jakun semalam. Terasa seperti orang yang buta teknologi.

“Macam bagus sangat...” Omel Elman.

Athiya mendengar omelan Elman. Sentap juga hatinya. Pagi-pagi dah sentap ya cik hati. Yalah dia memang tak sebagus mana pun. Athiya sedar apa pun yang dia buat, akan nampak serong dimata Elman. Nak buat macam mana, kalau orang dah tak suka tu memang tak akan nampak kebaikan dia. Terima jelah Athiya. Tahan je lah telinga tu.

Dah nasib diri macam ni. Lagipun Athiya kena sedar diri. Dia di rumah ini adalah untuk membalas apa yang di hutang keluarganya pada keluarga ini. Jadi dia kenalah sedar diri. Dia tak ada pilihan lain selain daripada menerima saja segala cacian dan sindiran Elman selagi kesabarannya masih ada.

Biarpun hari pertama bangun sebagai seorang isteri, dah kena marah. Bukan nak ucap terima kasih ke nak berkasih sayang ke. Kena sindir lagi ada. Untung juga dia tak mengada nak tunggu solat jemaah dengan Elman tadi. Kalau tidak lagi dia malu. Ya lah, tak kan dia nak jadi makmum pada imam yang tak sudi.



Untuk mengelak rasa janggal, Athiya sengaja menunggu Elman untuk turun bersarapan bersama. Waktu mereka tiba di meja makan semuanya telah menunggu dengan makanan yang siap terhidang. Jadi segan Athiya dibuatnya. Hari pertama dia dah gagal sebagai menantu pilihan.

Seperti biasa Elman akan duduk disebelah abahnya dan berhadapan dengan dengan mama dia. Mawar pula duduk disebelah Puan Melur. Ini yang buat Athiya mati kutu. Dia nak duduk kat mana pula. Tak kan nak duduk sebelah Elman. Mahu dia bersarapan dengan semangkuk sindiran hari ini.

“Akak. Marilah duduk sebelah Mawar.” Mawar menepuk kerusi disebelahnya beberapa kali dengan senyuman tersunging di bibir gadis itu.

Lega Athiya. Nasib baik Mawar yang menjadi penyelamatnya hari ini. Pantas Athiya berjalan ke sebelah sana dan duduk disamping Mawar. Sekurang-kurangnya ada seorang yang mengalu-alukan kehadiran dia.

“Elman solat subuh tak pagi tadi? Abah tak nampak pun Man kat bilik solat.” Megat Ehsan memulakan perbualan anak beranak. Anaknya yang sedang bersarapan dipandang sambil hujung bibirnya terbit senyuman penuh makna untuk anaknya yang baru bergelar suami.

“Solat abah. Man solat kat bilik. Hantu bungkus tolong kejutkan.” Selamba Elman menjawab. Matanya mengerling pada Athiya dihadapannya.

Athiya tersedak mendengar jawapan suaminya. Nasib baik tak tersembur mee hoon goreng dalam mulut dia. Hantu bungkus? Selamba je Elman menggelarnya begitu. Rasa menyesal pula Athiya gagal ambil gambar ‘anak mak’ pagi tadi.

“Kenapa kak?” Bisik Mawar yang duduk disebelahnya. Sibuk nak ambil tahu. Macam ada kisah menarik disebalik ini.Untung-untung dia dapat bahan untuk membahan abangnya.

“Pagi tadi akak terlupa buka telekung masa bangunkan abang. Jadi abang terkejut tengok akak.” Cerita Athiya dalam nada yang rendah. Tak mahu perbualan dia dan Mawar didengari oleh orang lain. Suaranya jelas dia sedang menelan ketawa.

“Mesti muka abang lawak gila kan akak?” Mawar sudah tertawa kecil. Dia tak boleh nak tahan gelak apabila fikirannya membayangkan wajah abangnya ketika itu.

Athiya pun melepaskan gelak kecil bila teringatkan muka Elman pagi tadi. Tapi senyumannya segera mati apabila dia perasan Elman yang duduk dihadapannya sedang memandang tajam ke arah dia. Jangankan kata nak ketawa. Nak tersenyum pun dia dah tak berani. Akhirnya dia tertunduk memandang sarapan.

“Ini Man dan Aya siap-siap pagi ni nak ke mana?” Puan Melur memandang Elman dan Athiya silih berganti. Awalnya anak menantu dia bersiap.

“Man nak pergi pejabat sekejap lagi Ma.” Balas Elman. Baginya hari ini tiada beza pun dengan hari sebelumnya. Tiada apa yang istimewa.

“Office? Kan hari ahad ni Man.” Tegur Puan Melur. Dia tak senang dengan apa yang dia dengari. Baru semalam Elman bernikah dan anaknya sudah nak ke pejabat. Buang tabiat ke apa Elman ni? Tak pernah dibuat orang pengantin baru masuk kerja hari minggu.

Puan Melur menjeling pada Athiya. Terbit rasa simpati pada menantunya itu. Tiba-tiba Puan Melur meragui tentang keputusannya untuk menyatukan Athiya dan Elman. Dari dulu lagi Athiya memang calon pilihannya. Jadi apabila ada peluang, dia terus mengambil kesempatan untuk merealisasikan impiannya.

“Sebelum ni pun Man ada juga masuk office hari ahad. Tak ada masalah pun.” Elman santai menyuap mee hoon ke dalam mulutnya. Pura-pura tak faham apa yang cuba disampaikan oleh mama dia.

“Memanglah. Tapi Man kan baru nikah semalam.” Pujuk Puan Melur lagi. Sempat Puan Melur mengerling ke arah suaminya. Dia perlukan bantuan Megat Ehsan. Cuma suaminya saja yang mampu mengawal anak teruna mereka.

“Nikah pun macam tak nikah je mama.” Guman Elman dengan nada rendah. Lirih dan pedih sekali perasaan yang terselit disebalik kata-kata itu.

Auchhh... Tersentap lagi hati Athiya mendengar kata-kata Elman yang tajam menusuk ke hatinya itu. Tahulah Elman tak sudi nak kahwin dengan dia. Tapi janganlah mengungkit macam tu. Depan keluarga pula tu. Nampak sangat lelaki tu tak ikhlas. Dah tak ikhlas tu senyap-senyap sudah. Jagalah maruah dia sedikit.

“Elman.” Tegas suara Megat Ehsan menegur anaknya. Dia tak suka dengan sikap Elman. Bukan Megat Ehsan tak perasan yang wajah menantunya berubah tadi. Anaknya langsung tak hormatkan menantu dia.

“Pagi esok kan board meeting, abah. Jadi Man kena masuk office. Nak semak apa yang patut.” Elman memberi alasan. Langsung tidak terkesan dengan teguran abahnya.

“Aya pula nak pergi mana?”Lembut suara Megat Ehsan menyapa menantunya.

Malas dia nak melayan kepala angin anaknya hari ini. Lebih baik dia berkenalan dengan menantu dia. Jujurnya Megat Ehsan simpati pada Athiya. Tak pasal-pasal gadis itu terheret sekali dengan masalah mereka. Menjadi mangsa keadaan. Tersepit diantara dua keluarga.

“Nak balik rumah mummy sekejap. Aya nak ambil barang sikit.” Sopan Athiya menjawab. Wajahnya sedikit Megat Ehsan tiba-tiba memberi perhatian kepadanya. Dia rasa segan disapa Megat Ehsan. Dia bukannya rapat dengan Megat Ehsan.

“Kalau macam tu biar Elman temankan kamu. Man, teman isteri kamu balik rumah mertua kamu.” Putus Megat Ehsan. Langsung dia tidak hiraukan wajah tidak senang anaknya.

Puan Melur dah tersenyum suka. Ini yang dia sayang sangat pada suaminya ni.

“Tapi abah...” Elman cuba membantah. Dia tak betah nak duduk satu kereta dengan perempuan itu.

“Tak ada tapi-tapi Man. Kerja tu bila-bila kamu boleh buat. Kalau kamu tak nak masuk mesyuarat esok pun tak apa. Orang faham yang kamu baru kahwin.” Dalam nada yang biasa namun masih keras kata-kata Megat Ehsan itu. Mata tua tajam menghantar isyarat dia tidak suka di bantah.

“Hurmm...” Elman terpaksa mengalah jua. Tewas pada ketajaman mata Megat Ehsan dan ketegasan suara abahnya itu. Tak sanggup nak cari pasal dengan abah sendiri.

Kerana terpaksa aku relakan. Tapi dalam pada itu Elman sempat menjeling tajam pada Athiya. Menunjukkan dia menyalahkan Athiya atas semua ini berlaku. Hish... minah ni tak habis-habis hendak menyusahkan dia. Elman tak puas hati.

Tapi tak apa. Tahulah dia macam mana nak uruskan Athiya nanti. Jangan harap dia nak beri muka pada Athiya.


No comments: