Saturday, September 9, 2017

BAB 5 : Setia Menunggu


BAB 5



Dah seminggu Athiya berada di rumah agam ini. Dia mula membiasakan diri. Elman? Hurmm... Athiya tak tahu nak komen apa. Lelaki itu buat dia macam halimunan. Seolah-olah dia tak wujud. Tapi bagus juga, Athiya jadi selesa dengan layanan begitu. Sebab dia tak suka konfrontasi.

Selepas kejadian ditinggalkan ditepi jalan oleh Elman hari itu, Athiya rasa dia masih belum dapat berhadapan dengan Elman. Dia boleh bertentang mata. Tapi dia belum boleh bercakap dengan Elman. Cukuplah Elman buat dia rasa seperti sampah waktu itu.

“Sedaplah kak Aya masak.” Mawar dari tadi tak berhenti mengunyah.

Itu cupcake yang ketiga dah untuk Mawar. Nikmat sungguh Mawar menghabiskan cupcake di tangannya. Memang sungguh menghayati.

“Akak ikut resepi dalam FB je.” Athiya menghirup teh. Terasa aroma strawberi. Nikmat.

“Akak memang pandai masak. Sebab tu masak apa pun jadi. Kalau Mawar memang tak lepaslah nak masak macam ni.”

Kagum betul Mawar dengan Athiya. Dahlah baik. Lemah lembut. Pandai pula tu. Memang beruntung abang dia miliki Athiya. Bukan macam Athila yang nampak je cantik tapi perangai hancur. Cuma abang dia je yang buta tak nampak semua itu.

“Mawar boleh. Cantik taman mama ni.” Athiya tersenyum manis.

Dia tahu adik iparnya boleh je memasak. Cuma Mawar ni jenis malas ke dapur sedikit. Mungkin belum minat. Ataupun minat berbeza. Macam dia lebih suka memasak daripada berkebun begini. Tak sanggup rasanya duduk bawah panas semata-mata untuk sepokok bunga. Tak dan dia.

“Mama memang suka kan bunga, kak Aya. Kalau pasal bunga, mama memang sanggup berhabis. Akak minat bunga?” Anak mata Mawar menikam seluruh taman bunga mamanya.

“Akak sukakan bunga tapi tak suka tanam bunga.” Athiya tergelak dengan kata-kata sendiri. Ya dia memang suka bunga. Tapi dia tak suka menanam bunga.

Mawar turut tergelak besar dengan kata-kata Athiya. “Samalah kita kak. Mawar, nama je bunga tapi tak minat pun bunga.”

“Lawaklah Mawar ni.” Athiya menggeleng perlahan kepalanya. Ada-ada saja adik ipar dia ni.

“Abang layan akak, okay ke?” Mawar tak dapat menahan dirinya untuk menyibuk. Matanya mencari kejujuran disebalik riak Athiya.

“Okay je.” Athiya mencapai sebiji kek cawan. Dia mengelak daripada memandang Mawar. Takut nampak dia tidak jujur dengan jawapan sendiri. Bagi Athiya sekejam mana pun layanan Elman padanya. Lelaki itu tetap suaminya dan dia perlu menjaga aib rumah tangga mereka.

“Along tu baik. He the best brother ever. Mawar yakin kalau satu masa nanti abang dah jatuh cinta pada akak. Memang akak adalah perempuan yang paling bertuah dalam dunia.” Mawar tayang wajah penuh keyakinan. Dia berani potong jari lah. Wajib punya satu masa nanti abang dia akan jatuh cinta juga dengan Athiya. Dan waktu itu, biar Athila tu frust menonggeng.

Panjang umur Elman. Tak sempat Athiya hendak mengulas apa-apa, Elman datang dengan segelas air oren ditangan. Lelaki itu melabuhkan punggung di sebelah Mawar dan secara tidak langsungnya bertentang mata dengan Athiya.

“Bual apa ni?” Elman mengambil sebiji cupcake. Nampak macam sedap. Tambah berselera dia apabila melihat Mawar yang menjilat krim dijari dengan penuh nikmat.

“Kami tengah mengumpat along. Sedap kan cupcake ni? Kak Aya yang buat tau.” Mawar memuji kakak iparnya. Keningnya menari mengusik abangnya yang baru hendak merasa kek cawan tersebut.

“Suka makan manis. Nanti jadi gemuk baru tahu.” Perli Elman.

Lain orang yang di perli. Lain orang yang terasa. Athiya rasa macam ada anak panah yang menusuk ke hatinya. Eh... cik hati. Kita ke yang kena perli tu? Memang kita lah rasanya. Cik tubuh kita je yang comel kat sini. Tak kan pula Mawar yang langsing dan tinggi lampai tu pulak yang kena perli.

“Along ni kan. Suka nak sakitkan hati orang. Dahlah Mawar masuk dulu.” Mawar pura-pura sentap. Dia saja nak bagi peluang untuk abangnya kenal-kenal dengan isteri sendiri. Romantik apa? Duduk berdua di taman bunga sambil minum petang.

Tak sempat Athiya hendak menahan, Mawar dah menghilangkan diri. Sekarang Athiya pula yang rasa janggal di tinggalkan berdua dengan Elman. Hendak pergi, dia rasa serba salah dengan Elman yang masih minum petang. Hendak terus duduk di situ, dia tak tahu nak berbual apa dengan Elman.

"Hmmm memang sedap cupcake ni. Pandai kau buat." Tiba-tiba Elman bersuara. Dia mengambil satu lagi kek cawan itu. Ada rasa peanut butter. Dia suka.

"Hah... Terima kasih." Tergagap Athiya dibuatnya. Dia macam tak percaya dengan apa yang dia dengari. Elman tengah memuji dia ke?

"Memang sedap. Patutlah mama sayangkan kau. Rajin. Pandai mengemas. Pandai mengurus rumah. Pandai masak..."

Athiya rasa kembang dipuji oleh Elman begitu. Wajahnya tertunduk memandang meja. Malu. Cuma macam ada sesuatu yang tak kena. Entah kenapa hatinya ragu dengan pujian Elman. Dia mahu kata-kata itu terhenti di situ saja. Sebab dia risau kalau pujian itu adaa sambungan yang menyakitkan.

"Memang sesuai jadi the perfect helper" Elman tersenyum sinis.

Strike #1. Mati senyuman Athiya. Gelaran 'Perfect helper' tu kedengaran seperti bibik di telinganya. Penghinaan secara terancang rupanya. Cik hati! Kita terguris.

Lama Athiya terdiam dibuatnya. Tak pasal-pasal hari ini dia dapat gelaran ‘BIBIK’.

Bulat mata Athiya memandang Elman disaat dengan tiba-tiba Elman menarik tangannya yang tersadai di atas meja. Tubuh Athiya ikut mengeras. Macam ada renjatan elektrik apabila kulit Elman menyapa kulitnya. Ehh... Mamat ni. Tadi bukan main sedap lelaki itu memerlinya. Sekarang nak pegang-pegang pula.

"Mama yang bagi Aya tadi." Athiya bersuara apabila Elman mengusap gelang jade di pergelangan tangannya. Padanlah, tiba-tiba suaminya sudi menyentuh dia. Pasti sebab gelang hadiah daripada ibu mertuanya.

"Ini gelang pusaka keluarga aku. Tok Ma yang beri pada mama sebagai hadiah perkahwinan." Senada saja Elman bersuara.

Dia macam tak percaya mama nya dengan mudah menghadiahkan gelang warisan keluarga itu kepada Athiya. Sebelum ini dia pernah meminta gelang itu untuk Athila tapi berbagai alasan yang mama dia berikan. Kenapa dengan Athiya mudah saja mama dia menyerahkan simbol keluarga mereka. Tanda Athiya diterima sebagai menantu dalam keluarga Megat Ehsan.

"Tahu. Tadi mama ada cerita kat Aya dan Mawar. Cantik gelang ni." Athiya menarik tangannya. Dia segan apabila Elman terus menerus mengusap gelang itu. Dia jadi gabra apabila tangan dia dan Elman bersentuhan.

"Ya cantik dan berharga. Aku ingat gelang ini akan jadi milik Athila. Tentu cantik kalau Athila yang pakai. Sesuai dengan orangnya. Tapi tak sangka..." Jujur Elman katakan dia tak pernah menyangka akan ada gadis lain memakai gelang itu selain Athila.

Strike #2. Sentap. Memang Athiya sentap. Dia terdiam lagi. Matanya memberat dengan airmata. Rupanya gelang yang dia pakai ini bukan miliknya. Bukan terniat untuknya. Sekali lagi dia yang kedua selepas Athila.

"Tapi it's okay. Dah rezeki kau. Aku kagum dengan kau. Hebat juga kau ni rupanya. Baru seminggu kat sini, mama dah hadiahkan macam-macam. Murah rezeki." Elman memerli tanpa belas kasihan. Mukanya selamba saja sambil tangannya. menyuap suapan terakhirnya. Kemudian dia bangun meninggalkan Athiya yang menitiskan airmata.

Home run buat Elman kerana berjaya buat Athiya rasa jijik. Dia jijik dengan diri sendiri. Athiya menarik keluar gelang berwarna hijau Emerald itu dari tangannya. Terguris tangannya terkena besi di hujung gelang. Luka dan berdarah.

Athiya membiarkan airmata membasahi pipinya. Dia menangis bukan kerana luka di tangan tapi kerana luka di hati yang semakin parah. Dia tak berdaya untuk terus kuat. Kali ini Elman berjaya memijak maruahnya. Athiya merenung gelang yang tercalit sedikit dengan darahnya.

Barulah dia sedar bukan saja dia tak layak, malah terlalu hina untuk memiliki gelang itu. Bererti bukan saja dia tak layak untuk Elman, tapi juga dia terlalu hina untuk terus bersama lelaki itu.

BAB 4 : Setia Menunggu

BAB 4




Kerana arahan Megat Ehsan waktu sarapan tadi, Elman terpaksa menghantar Athiya ke rumah mertuanya. Kalau tak disebabkan abahnya, memang dia tak sanggup nak duduk sekereta dengan Athiya. Dia lakukan semua ini sebab dia hormatkan abahnya. Tapi tidak bermakna dia akan bertoleransi dengan Athiya juga.

Athiya tak berani nak bersuara. Dia duduk senyap di samping Elman yang memandu. Dia tahu kalau tak disebabkan paksaan bapa mertuanya, memang Elman tak sudi lah nak tumpangkan dia balik rumah orang tuanya.

Jadi sebagai seorang yang sedar diri Athiya mengambil langkah untuk berdiam diri. Takut kalau kena sembur nanti, dia juga yang makan hati. Jadi sebelum apa-apa terjadi, Athiya perlu pastikan dia dalam zon selamat. Tema nya bersama Elman adalah safety first.

Tiba- tiba Elman membelok dan memberhentikan keretanya di sebuah perhentian bas yang tidak jauh daripada kawasan perumahan keluarga Elman. Belum sempat Athiya hendak bertanya apa-apa. Elman dulu memberi arahan. "Kau turun sekarang." ‘

"Hahhh???" Nada Athiya jelas menunjukkan dia terkejut dan tidak faham.

Athiya dah terkebil-kebil apabila di suruh turun di situ. Ehhh... ini bukan rumah nya. Bila masa pula rumah dia bertukar jadi stesen bas.

"Turun lah. Kau ingat aku ada masa nak layan kau? Daripada aku layan kau ni lebih baik aku layan kucing tepi jalan tau. Kau pergi balik sendiri." Elman membuka seatbelt Athiya. Kasar.

Elman lepaskan kemarahan dia pada Athiya. Dia tunjukkan bertapa jijiknya dia untuk berada dekat dengan Athiya. Betapa bencinya dia pada keluarga perempuan itu.

"Tapi..."Athiya cuba hendak berbincang dengan Elman.

Bukan dia nak sangat pun Elman mengikut dia pulang. Dia boleh pulang sendiri kalau Elman tidak sudi menghantarnya. Cuma dia akui ada benarnya apa yang dikatakan oleh mertuanya pagi tadi. Apalah kata orang kalau dia balik bersendirian hari ini tanpa Elman. Naik uber atau teksi pula tu.

"Kau ni tak faham bahasa ya!! Kan aku cakap kau pergi balik sendiri. Baliklah sendiri. Apa yang susah sangat nak faham.” Tempelak Elman.

Elman menjadi bertambah marah. Dia tak sangka, pandai pula Athiya hendak membantah kata-katanya. Memang dasar tak sedar diri perempuan ini.

“Abah...” Athiya masih dua tiga hendak membuka pintu kereta. Elman tengah bergurau dengan dia ke sekarang ini? Tak kan lelaki itu sanggup hendak memalukan orang tua sendiri.

“Kau tak payah nak guna nama abah lah. Aku tak takut pun. Lagipun kau jangan ingat aku sudi nak pijak rumah pengikis macam keluarga kau.” Sembur Elman sinis.

Sentap Athiya. Dia cepat-cepat keluar daripada X6 milik Elman. Dalam kekalutan itu sempat dia mendengar pesanan terakhir Elman. “Lagi satu belum tentu kau lama tinggal kat rumah tu jadi tak perlu nak bawa barang kau banyak sangat. Menyemak je nanti.”

Terputus nafas Athiya mendengar pesanan itu. Memang mulut lelaki bernama Elman itu setajam pedang samurai. Terpancung terus hatinya. Bertambah sayu dia melihat kereta hitam itu meluncur laju sebaik dia menutup pintu. Tak tunggu sesaat pun. Sampai hati Elman tinggal kan dia kat tepi jalan orang yang tiada harga diri.

Sakit dan perit sekali perasaan itu. Athiya menepuk-nepuk dada sendiri. Dia mendongak ke atas, menahan air matanya yang ingin gugur. Jangan menangis Athiya. Jangan menangis untuk orang yang tak tahu mengasihani seperti Elman.

Pahit sekali kata-kata tadi tapi Athiya terpaksa telan juga kata-kata Elman. Kalau suaminya dah tak sudi hendak menghantar dia. Dia pun tak sudilah nak menumpang Elman. Lelaki itu ingat dia tak boleh nak berdikari. Dia bolehlah cari pemandu lain. Athiya mengambil telefon bimbitnya. Aplikasi uber dibuka. Masa untuk mencari... harap-harap dapat pemandu yang lagi kacak daripada Elman.



Elaman memilih untuk melepak di Starbuck selepas dia meninggalkan ‘miss plain jane’ tu di tepi jalan. Puas hatinya dapat melepaskan geram pada Athiya. Jangan Athiya ingat gadis itu boleh besar kepala padanya hanya kerana mendapat sokongan dari keluarga dia.

Elman membuang pandangan keluar. Melihat gelagat orang ramai yang sibuk menghabiskan masa hujung minggu di pusat membeli belah. Pejabat cumalah alasan dia meloloskan diri daripada orang tuanya tadi. Aroma kopi membuatkan dia sedikit tenang.

Dia perlu ketenangan untuk mengatur balik kehidupannya. Dia perlu masa untuk menyusun kembali fikirannya. Apa yang telah terjadi baru-baru ini terlalu cepat. Terlalu pantas sehinggakan dia tiada masa untuk memikirkan yang terbaik buatnya.

Seminggu lepas dia masih tunang kepada Athila. Gadis yang cantik yang memikat hatinya. Tapi semalam, dia menjadi suami kepada Athiya. Suami kepada bakal kakak ipar tak jadinya. Bertunang dengan orang lain. Bernikah dengan orang lain. Siapa yang tak tertekan? Kalau bernikah dengan orang di cintai, tak apalah juga. Ini dengan gadis biasa-biasa yang menyakitkan hati.

“Assalamualaikum. Dah kenapa kau ni? Tiba-tiba ajak aku lepak pula hari ini.”

Helmie melabuhkan punggungnya dihadapan Elman. Cawan caramel macchianto diletakkan diatas meja. Wajah Elman yang penuh masalah itu di pandang pelik. Hai pengantin baru pun banyak masalah ke???

“Tak boleh ke aku nak ajak kau keluar dah?” Mahu tak mahu saja Elman melayan pertanyaan teman baiknya. Tak ada mood.

“Tak adalah. K

au tu pengantin baru. Belum sampai 24jam pun kau menikah, kau dah ajak aku lepak. Memanglah aku pelik. Selalunya kalau pengantin baru, waktu sekarang ni memerap je kat rumah.” Sindir Helmie. Dia menghisap rakus air kopi kegemarannya. Dah macam orang hilang anak dia tengok kawan dia seorang ini.

“Kau bercakap macam kau tak tahu apa yang dah terjadi.” Keras suara Elman.

Kata-kata Helmie bagai meletakkan garam diatas luka dia. Helmie ingat dia bahagia dengan perkahwinan ini? Bercakap macam Helmie tak tahu sejarah dia dan Athiya. Dia ajak Helmie keluar untuk menenangkan fikiran. Bukan membuatkan dia tambah serabut.

“Maaflah bro. Tapi kalau begitu pun, takkan kau tinggalkan wife ko macam tu je kat rumah. Kau kesianlah juga kat dia. Wife kau tak salah kot.” Helmie menggeleng kepala dengan sikap panas baran Elman. Sikit-sikit nak marah. Emo betul Elman sekarang.

“Dia balik rumah keluarga dia. Ambil barang.” Elman menyisip air kopi dihadapannya. Dah suam. Matanya langsung tidak memandang kearah Helmie. Sedar pasti akan ada soalan yang akan menyusul.

“Kau tak temankan dia?” Mata Helmie membesar. Dia menegakkan postur tubuhnya. Keras hati betul Elman sampai sanggup membiarkan isteri yang baru di nikahi balik sendirian. Biarpun tak suka, tapi tak kan Elman tak terfikir langsung nak menjaga air muka isteri dan keluarganya sendiri.

“Malaslah. Tak ingin aku nak jejak kaki aku kat rumah tu lagi. Sakit hati aku ni.” Luah Elman. Dia menarik nafas dalam. Pejamkan mata. Ingin lupakan rasa perit yang menusuk di kalbu.

“Aku faham perasan kau. Athila memang tak patut buat kau macam tu. Tapi janganlah sampai kau lepaskan kemarahan kau pada isteri kau pula. Aku tengok isteri kau okay je.” Helmie cuba menasihati. Masa sekarang penting untuk dia menjalankan tugasnya sebagai teman baik.

“Alah.... Dia tu sama je dengan keluarga dia. Mata duitan. Kau ingat kenapa dia setuju hendak berkahwin dengan aku kalau bukan kerana harta.” Sinis wajah Elman memperlekehkan isteri sendiri. Wajah Athiya terbayang di mata. Membuatkan darahnya mendidih kembali.

“Kau janganlah cepat menghukum. Mana tahu dia tak sama seperti yang kau sangkakan. Lagipun kalau kau tahu dia macam tu, kenapa kau masih setuju untuk teruskan pernikahan kau hari tu.” Helmie menepuk dahi sendiri. Dia tak faham sungguh dengan kawan baik dia seorang ini. Hari tu bukan main lagi bersetuju. Sekarang banyak bunyi pula.

“Sebab mama aku yang beriya nak aku kahwin dengan dia tu. Entah apa yang dia sogokkan pada keluarga aku sampai semua ahli keluarga aku sayang sangat dengan dia. Abah aku pun boleh layan dia baik je.” Rungut Elman. Bibirnya mencebik tak puas hati.

“Mesti ada sesuatu pada dia yang buat family kau sayangkan dia. Takkan kau tak tahu. Bukan kau dan dia membesar bersama ke?” Helmie cuba menyuntik rasa keraguan dalam diri Elman. Dia rasa seseorang perlu buat Elman berfikir.

“Aku tak rapat sangat dengan dia tu. Lagipun tak ada yang menarik tentang dia untuk buatkan aku rasa nak rapat dengan dia. Miss plain jane.” Ego sungguh Elman menuturkannya.

“Yalah. Aku tahulah taste kau macam mana. Kau nak yang cantik je. Yang pandai bergaya. Mana nak pandang yang biasa-biasa. “ Jengkel sungguh Helmie dengan sikap Elman. Nasib baik mereka dah lama berkawan.

“Well. Semua lelaki suka perempuan cantik. Kau sendiri pun suka cuci mata.” Selamba wajah Elman mengakui kata-kata Helmie. Ya, Athiya bukan citarasanya.

“Untuk cuci mata, boleh lah bro. Bukan untuk kahwin. Kalau nak kahwin, aku cari yang simple-simple je. Janji boleh jaga aku dengan baik. Yang high maintenance ni, sakit pula kepala aku nak jaga nanti. Asyik nak turut kehendak dia je. Aku tak banyak duit macam kau. Mana mampu nak beli macam-macam hanya semata-mata untuk memujuk.” Helmie sempat menyindir Elman.

Bukan Helmie tak ingat bagaimana Elman berhabisan untuk Athila dulu. Semua kemahuan gadis itu dituruti. Sampai temannya itu sanggup memberi kad kreadit kepada Athila. Dulu bukan main lagi melabur untuk dapatkan perhatian Athila. Akhirnya tetap juga Elman kena tingal begitu saja. Buat penat diri je melayan perempuan macam tu. Tapi masih juga Elman tak insaf lagi.

“Dah... Aku tak nak dengar lagi hal ini. Aku ajak kau lepak ni untuk tenangkan fikiran. Bukan nak serabutkan lagi otak aku.” Berubah wajah Elman apabila kisah silam dia diungkit kembali. Dia tak suka. Dia tak selesa.

Helmie mengangkat bahu tanda tak kisah. Biarlah apa pun Elman nak kata. Dia tak kisah. Yang penting dia tahu apa yang benar.

BAB 3 : Setia Menunggu

BAB 3



Semalaman Athiya tak boleh lelapkan mata. Kepalanya sarat dengan masalah dan perasaannya tak menentu. Ditambah lagi dengan ketidakpastian yang rasakan. Dia tidak pasti apa yang akan terjadi pada masa akan datang membuatkan fikirannya semakin berat. Semakin sukar untuk dia melelapkan mata.

Berdiri dihadapan katil, Athiya menggaru kepala yang masih diselubung telekung. Matanya tunak memerhatikan Elman yang masih lena. Dia baru selesai solat subuh. Sekarang ini dia tengah berteka-teki sama ada nak kejutkan Elman atau tidak. Hendak kejutkan dia takut kena marah dengan Elman. Tapi kalau dia tak kejutkan Elman, dia pula sama-sama ada saham akhirat sebab Elman tak solat pagi ini.

Arghh... Lebih baik Elman yang marahkan dia daripada dia berdosa. Perlahan-lahan Athiya menyentuh ibu kaki Elman. Di goyang-goyang perlahan sambil bibirnya menyeru nama Elman. Meminta lelaki itu bangun dan solat subuh. Berkali-kali jugalah dia terpaksa melakukan hal itu sebelum Elman terbangun dan terus menjerit.

“Makk!!!” Elman melompat kebelakang sehingga kepalanya terkena kepala katil.

Hilang terus mamainya. Elman terkejut sehingga dia boleh terduduk bersandar di kepala katil. Conforter ditarik rapat menutup separuh mukanya. Mana dia tak terkejut. Sebaik dia buka mata dan dalam rabun, dia nampak ada lembaga putih berdiri di hujung kakinya. Sedang memegang kakinya pula tu. Mahu tak melayang semangatnya sekejap.

“Abang... Aya ni.” Athiya pantas memperkenalkan diri.

Bibirnya dikemam rapat untuk menahan ketawa yang sipi-sipi lagi nak terlepas. Hiburan dipagi hari. Memang lawak sungguh rupa suaminya terkejut. Yang tak tahan tu, Elman siap panggil ‘mak’ lagi. Memang hilang terus lagak lelaki ego and macho Elman. Anak mak rupanya suami itu.

“Aya.” Sepotong nama itu meniti dibibir Elman.

Berkerut dahi Elman. Dia bagai cuba mengingati sepotong nama itu sambil tangannya sudah melepaskan conforter yang menutup wajahnya tadi. Selimut tebal dan selesa itu sudah jatuh ke dadanya. Otak Eman segera memproses maklumat. Barulah dia teringat semalam dia sudah bernikah dengan Athiya. AYA.,,

“Astaghfirullah... Apa kau buat ni? Dengan lampu tak buka semua. Berdiri pakai telekung macam tu. Kau nak bunuh aku ke apa???” Elman memandang garang ke arah Athiya. Dadanya berombak menahan geram.

“Aya nak kejutkan abang solat subuh. Dah subuh ni.” Perlahan saja suara Athiya membalas. Terkebil-kebil mata dia kena marah oleh Elman. Pagi-pagi dah kena marah. Hilang rasa hendak ketawa. Digantikan dengan rasa seram. Rasa hendak terkucil pun ada.

“Hurm... Kalau ya pun. Yang kau berdiri dalam gelap ni apa hal. Kau pergi on semua lampu. Hish kau ni.” Rungut Elman. Hilang macho dia pagi ni.

“Ya. Abang bangunlah. Solat subuh. Tak elok lewat-lewatkan solat.” Perlahan sekali suara Athiya. Risau dia kalau kena sembur lagi oleh Elman.

“Ya. Jangan pandai nak ceramah orang je. Kau tu dah solat belum?” Elman mencebikkan bibir. Baru hari pertama bergelar suami, dia dah ditegur isteri sendiri. Tercabar juga rasa hati.

“Dah. Aya baru je lepas solat.”Athiya membalas lembut.

Athiya mencapai alat kawalan dan menekan punat pada alat tersebut, untuk menghidupkan semua lampu. Seperti yang di arahkan oleh suaminya. Senang sungguh jadi Elman. Bilik lengkap dengan alatan moden macam tu. Dia juga yang jadi jakun semalam. Terasa seperti orang yang buta teknologi.

“Macam bagus sangat...” Omel Elman.

Athiya mendengar omelan Elman. Sentap juga hatinya. Pagi-pagi dah sentap ya cik hati. Yalah dia memang tak sebagus mana pun. Athiya sedar apa pun yang dia buat, akan nampak serong dimata Elman. Nak buat macam mana, kalau orang dah tak suka tu memang tak akan nampak kebaikan dia. Terima jelah Athiya. Tahan je lah telinga tu.

Dah nasib diri macam ni. Lagipun Athiya kena sedar diri. Dia di rumah ini adalah untuk membalas apa yang di hutang keluarganya pada keluarga ini. Jadi dia kenalah sedar diri. Dia tak ada pilihan lain selain daripada menerima saja segala cacian dan sindiran Elman selagi kesabarannya masih ada.

Biarpun hari pertama bangun sebagai seorang isteri, dah kena marah. Bukan nak ucap terima kasih ke nak berkasih sayang ke. Kena sindir lagi ada. Untung juga dia tak mengada nak tunggu solat jemaah dengan Elman tadi. Kalau tidak lagi dia malu. Ya lah, tak kan dia nak jadi makmum pada imam yang tak sudi.



Untuk mengelak rasa janggal, Athiya sengaja menunggu Elman untuk turun bersarapan bersama. Waktu mereka tiba di meja makan semuanya telah menunggu dengan makanan yang siap terhidang. Jadi segan Athiya dibuatnya. Hari pertama dia dah gagal sebagai menantu pilihan.

Seperti biasa Elman akan duduk disebelah abahnya dan berhadapan dengan dengan mama dia. Mawar pula duduk disebelah Puan Melur. Ini yang buat Athiya mati kutu. Dia nak duduk kat mana pula. Tak kan nak duduk sebelah Elman. Mahu dia bersarapan dengan semangkuk sindiran hari ini.

“Akak. Marilah duduk sebelah Mawar.” Mawar menepuk kerusi disebelahnya beberapa kali dengan senyuman tersunging di bibir gadis itu.

Lega Athiya. Nasib baik Mawar yang menjadi penyelamatnya hari ini. Pantas Athiya berjalan ke sebelah sana dan duduk disamping Mawar. Sekurang-kurangnya ada seorang yang mengalu-alukan kehadiran dia.

“Elman solat subuh tak pagi tadi? Abah tak nampak pun Man kat bilik solat.” Megat Ehsan memulakan perbualan anak beranak. Anaknya yang sedang bersarapan dipandang sambil hujung bibirnya terbit senyuman penuh makna untuk anaknya yang baru bergelar suami.

“Solat abah. Man solat kat bilik. Hantu bungkus tolong kejutkan.” Selamba Elman menjawab. Matanya mengerling pada Athiya dihadapannya.

Athiya tersedak mendengar jawapan suaminya. Nasib baik tak tersembur mee hoon goreng dalam mulut dia. Hantu bungkus? Selamba je Elman menggelarnya begitu. Rasa menyesal pula Athiya gagal ambil gambar ‘anak mak’ pagi tadi.

“Kenapa kak?” Bisik Mawar yang duduk disebelahnya. Sibuk nak ambil tahu. Macam ada kisah menarik disebalik ini.Untung-untung dia dapat bahan untuk membahan abangnya.

“Pagi tadi akak terlupa buka telekung masa bangunkan abang. Jadi abang terkejut tengok akak.” Cerita Athiya dalam nada yang rendah. Tak mahu perbualan dia dan Mawar didengari oleh orang lain. Suaranya jelas dia sedang menelan ketawa.

“Mesti muka abang lawak gila kan akak?” Mawar sudah tertawa kecil. Dia tak boleh nak tahan gelak apabila fikirannya membayangkan wajah abangnya ketika itu.

Athiya pun melepaskan gelak kecil bila teringatkan muka Elman pagi tadi. Tapi senyumannya segera mati apabila dia perasan Elman yang duduk dihadapannya sedang memandang tajam ke arah dia. Jangankan kata nak ketawa. Nak tersenyum pun dia dah tak berani. Akhirnya dia tertunduk memandang sarapan.

“Ini Man dan Aya siap-siap pagi ni nak ke mana?” Puan Melur memandang Elman dan Athiya silih berganti. Awalnya anak menantu dia bersiap.

“Man nak pergi pejabat sekejap lagi Ma.” Balas Elman. Baginya hari ini tiada beza pun dengan hari sebelumnya. Tiada apa yang istimewa.

“Office? Kan hari ahad ni Man.” Tegur Puan Melur. Dia tak senang dengan apa yang dia dengari. Baru semalam Elman bernikah dan anaknya sudah nak ke pejabat. Buang tabiat ke apa Elman ni? Tak pernah dibuat orang pengantin baru masuk kerja hari minggu.

Puan Melur menjeling pada Athiya. Terbit rasa simpati pada menantunya itu. Tiba-tiba Puan Melur meragui tentang keputusannya untuk menyatukan Athiya dan Elman. Dari dulu lagi Athiya memang calon pilihannya. Jadi apabila ada peluang, dia terus mengambil kesempatan untuk merealisasikan impiannya.

“Sebelum ni pun Man ada juga masuk office hari ahad. Tak ada masalah pun.” Elman santai menyuap mee hoon ke dalam mulutnya. Pura-pura tak faham apa yang cuba disampaikan oleh mama dia.

“Memanglah. Tapi Man kan baru nikah semalam.” Pujuk Puan Melur lagi. Sempat Puan Melur mengerling ke arah suaminya. Dia perlukan bantuan Megat Ehsan. Cuma suaminya saja yang mampu mengawal anak teruna mereka.

“Nikah pun macam tak nikah je mama.” Guman Elman dengan nada rendah. Lirih dan pedih sekali perasaan yang terselit disebalik kata-kata itu.

Auchhh... Tersentap lagi hati Athiya mendengar kata-kata Elman yang tajam menusuk ke hatinya itu. Tahulah Elman tak sudi nak kahwin dengan dia. Tapi janganlah mengungkit macam tu. Depan keluarga pula tu. Nampak sangat lelaki tu tak ikhlas. Dah tak ikhlas tu senyap-senyap sudah. Jagalah maruah dia sedikit.

“Elman.” Tegas suara Megat Ehsan menegur anaknya. Dia tak suka dengan sikap Elman. Bukan Megat Ehsan tak perasan yang wajah menantunya berubah tadi. Anaknya langsung tak hormatkan menantu dia.

“Pagi esok kan board meeting, abah. Jadi Man kena masuk office. Nak semak apa yang patut.” Elman memberi alasan. Langsung tidak terkesan dengan teguran abahnya.

“Aya pula nak pergi mana?”Lembut suara Megat Ehsan menyapa menantunya.

Malas dia nak melayan kepala angin anaknya hari ini. Lebih baik dia berkenalan dengan menantu dia. Jujurnya Megat Ehsan simpati pada Athiya. Tak pasal-pasal gadis itu terheret sekali dengan masalah mereka. Menjadi mangsa keadaan. Tersepit diantara dua keluarga.

“Nak balik rumah mummy sekejap. Aya nak ambil barang sikit.” Sopan Athiya menjawab. Wajahnya sedikit Megat Ehsan tiba-tiba memberi perhatian kepadanya. Dia rasa segan disapa Megat Ehsan. Dia bukannya rapat dengan Megat Ehsan.

“Kalau macam tu biar Elman temankan kamu. Man, teman isteri kamu balik rumah mertua kamu.” Putus Megat Ehsan. Langsung dia tidak hiraukan wajah tidak senang anaknya.

Puan Melur dah tersenyum suka. Ini yang dia sayang sangat pada suaminya ni.

“Tapi abah...” Elman cuba membantah. Dia tak betah nak duduk satu kereta dengan perempuan itu.

“Tak ada tapi-tapi Man. Kerja tu bila-bila kamu boleh buat. Kalau kamu tak nak masuk mesyuarat esok pun tak apa. Orang faham yang kamu baru kahwin.” Dalam nada yang biasa namun masih keras kata-kata Megat Ehsan itu. Mata tua tajam menghantar isyarat dia tidak suka di bantah.

“Hurmm...” Elman terpaksa mengalah jua. Tewas pada ketajaman mata Megat Ehsan dan ketegasan suara abahnya itu. Tak sanggup nak cari pasal dengan abah sendiri.

Kerana terpaksa aku relakan. Tapi dalam pada itu Elman sempat menjeling tajam pada Athiya. Menunjukkan dia menyalahkan Athiya atas semua ini berlaku. Hish... minah ni tak habis-habis hendak menyusahkan dia. Elman tak puas hati.

Tapi tak apa. Tahulah dia macam mana nak uruskan Athiya nanti. Jangan harap dia nak beri muka pada Athiya.