Saturday, August 12, 2017

BAB 2 : Setia Menunggu

BAB 3


    Nak kejut ke tidak? Athiya menggaru kepala yang masih diselubung telekung. Matanya tunak memerhatikan Elman yang masih lena diatas katil. Dia baru selesai solat subuh. Sekarang ini dia tengah berteka-teki sama ada nak kejutkan Elman atau tidak. Hendak kejutkan dia takut kena marah dengan Elman. Tapi kalau dia tak kejutkan Elman, dia pula sama-sama ada saham akhirat sebab Elman tak solat pagi ini.
   Arghh... Lebih baik Elman yang marahkan dia daripada dia berdosa. Perlahan-lahan Athiya menyentuh ibu kaki Elman. Di goyang-goyang perlahan sambil bibirnya menyeru nama Elman. Meminta lelaki itu bangun dan solat subuh. Berkali-kali jugalah dia terpaksa melakukan hal itu sebelum Elman terbangun dan terus menjerit.
   “Makk!!!” Elman melompat kebelakang sehingga kepalanya terkena kepala katil.
   Rasa mamai Elman terus hilang. Elman terkejut sehingga dia boleh terduduk bersandar di kepala katil. Conforter ditarik rapat menutup separuh mukanya. Mana dia tak terkejut. Sebaik dia buka mata dan dalam rabun, dia nampak ada lembaga putih berdiri di hujung kakinya. Sedang memegang kakinya pula tu.  Mahu tak melayang semangatnya sekejap.
  “Abang... Aya ni.” Athiya pantas memperkenalkan diri. Bibirnya dikemam rapat untuk menahan ketawa yang sipi-sipi lagi nak terlepas. Lucu sungguh rupa suaminya terkejut. Yang tak tahan siap panggil mak tu.
  “Aya.” Elman bagai cuba mengingati sepotong nama itu sambil tangannya sudah melepaskan conforter yang menutup wajahnya tadi. Otak Eman segera memproses maklumat. Barulah dia teringat semalam dia sudah bernikah dengan Athiya.
  “Astaghfirullah... Apa kau buat ni? Dengan lampu tak buka semua. Berdiri pakai telekung macam tu. Kau nak bunuh aku ke apa???” Elman memandang garang ke arah Athiya.
  “Aya nak kejutkan abang solat subuh. Dah subuh ni.” Perlahan saja suara Athiya membalas. Terkebil-kebil mata dia kena marah oleh Elman. Pagi-pagi dah kena marah..
  “Hurm... kau on semua lampu. Hish kau ni.” Rungut Elman. Hilang macho dia pagi ni.
  “Ya. Abang bangunlah. Solat subuh. Tak elok lewat-lewatkan solat.” Pesan Athiya perlahan. Risau dia kalau kena sembur lagi oleh Elman.
  “Ya. Jangan pandai nak ceramah orang je. Kau tu dah solat belum?” Soal Elman.
  “Dah. Aya baru je lepas solat.” Jawab Athiya. Dia menekan alat kawalan kecil berwarna hitam, untuk menghidupkan semua lampu. Seperti yang di arahkan oleh suaminya.
  “Macam bagus sangat...” Omel Elman.
   Athiya mendengar omelan Elman. Sentap juga hatinya.. Athiya sedar apa pun yang dia buat akan nampak serong dimata Elman. Nak buat macam mana, kalau orang dah tak suka tu memang tak akan nampak kebaikan dia. Terima jelah Athiya. Tahan je lah telinga tu.
   Apalah nasib. Hari pertama bangun sebagai seorang isteri, dah kena marah. Bukan nak ucap terima kasih ke apa. Kena sindir lagi ada. Untung juga dia tak mengada nak tunggu solat jemaah dengan Elman tadi. Kalau tidak lagi dia malu. Ya lah, tak kan dia nak jadi makmum pada imam yang tak sudi. 

  “Elman solat subuh tak pagi tadi? Abah tak nampak pun Man kat bilik solat.” Tan Megat Ehsan bertanya pada anaknya yang sedang bersarapan. Di hujung bibirnya terbit senyuman penuh makna untuk anaknya yang baru bergelar suami.
  “Solat abah. Man solat kat bilik. Hantu bungkus tolong kejutkan.” Selamba Elman menjawab.
  Athiya tersedak mendengar jawapan suaminya. Nasib baik tak tersembur mee hoon goreng dalam mulut dia. Hantu bungkus? Sampai hati Elman menggelarnya begitu.
  “Kenapa kak?” Bisik Mawar yang duduk disebelahnya. Sibuk nak ambil tahu.
  “Pagi tadi akak terlupa buka telekung terus pergi bangunkan abang. Jadi abang Elman terkejut tengok akak.” Cerita Athiya dalam nada yang rendah. Tak mahu perbualan dia dan Mawar didengari oleh orang lain.
  “Mesti lucu muka abang kan kak?” Mawar sudah tertawa kecil. Tak dapat dia nak tahan gelak apabila fikirannya membayangkan wajah abangnya ketika itu.
  Athiya pun nak rasa tergelak bila teringatkan muka Elman pagi tadi. Tapi senyumannya segera mati apabila dia perasan Elman yang duduk dihadapannya sedang memandang tajam ke arah dia. Jangankan kata nak ketawa. Nak tersenyum pun dia dah tak berani. Akhirnya dia tertunduk memandang sarapan.
  “Ini Man dan Aya siap-siap pagi ni nak ke mana?” Puan Melur bertanya.
  “Man nak pergi pejabat sekejap lagi Ma.” Balas Elman.
  “Office? Kan hari ahad ni Man.” Tegur Puan Melur.
  “Sebelum ni pun Man ada juga masuk office hari ahad. Tak ada masalah pun.”
  “Memanglah. Tapi Man kan baru nikah semalam.” Pujuk Puan Melur lagi.
  “Nikah pun macam tak nikah je mama.” Guman Elman dengan nada rendah.
Auchhh... Tersentap lagi hati Athiya mendengar kata-kata Elman yang tajam menusuk ke hatinya itu. Tahulah Elman tak sudi nak kahwin dengan dia. Tapi janganlah mengungkit macam tu. Nampak sangat lelaki tu tak ikhlas. Dah tak ikhlas tu senyap-senyap sudah.
  “Elman.” Tegas suara Megat Ehsan menegur anaknya.
  “Lagipun Man ada board meeting esok. Jadi Man kena masuk office.” Elman memberi alasan.
  “Aya pula nak pergi mana?”Lembut suara Megat Ehsan menyapa menantunya. Dia simpati pada Athiya. Tak pasal- pasal gadis itu terheret sekali dengan masalah mereka. Menjadi mangsa keadaan.
  “Nak balik rumah mummy sekejap. Ambil barang.” Sopan Athiya menjawab. Dia segan disapa Megat Ehsan.
  “Kalau macam tu biar Elman temankan kamu. Man, teman isteri kamu balik rumah mertua kamu.” Putus Megat Ehsan.
  “Tapi abah...”
  “Tak ada tapi-tapi Man.” Tegas Megat Ehsan lagi.
  “Hurmm...” Elman terpaksa mengalah jua. Tewas pada ketajaman mata Megat Ehsan dan ketegasan suara abahnya itu. Tak sanggup nak cari pasal dengan abah sendiri.
  Kerana terpaksa aku relakan. Sempat Elman menjeling tajam pada Athiya. Hish... minah ni tak habis-habis hendak menyusahkan dia. Elman tak puas hati.

BAB 1 : Setia Menunggu


BAB 1

“Abang nak minum? Aya ada bawa air untuk abang.” Athiya meletakkan segelas air suam dan secawan kopi di atas meja. Tertib tingkahnya kerana tak mahu menganggu Elman yang kelihatan sibuk dengan kerja.
“Kau tak perlu nak susah-susah buat kerja ini semua. Kat rumah ini ada banyak orang gaji yang boleh buat semua kerja ni.” Dingin suara Elman. Mata yang dilindungi dengan cermin mata itu langsung tak memandang ke arah Athiya. Masih memandang skrin laptop.
“Tak susah pun.” Ujar Athiya ikhlas.
Jujurnya Athiya kekok berdua-duaan dengan Elman. Dia rasa serba salah untuk melakukan apa saja di hadapan lelaki itu. Biarpun dia tahu Elman tak memandang pun kearahnya tapi entah kenapa Athiya rasa yang dirinya sentiasa diperhatikan.
“Aku kata tak perlu kan? Jadi tak perlu.” Tegas Elman. Buat pertama kali matanya menikam terus anak mata Athiya.
Kaku terus Athiya di panah oleh pandangan tajam Elman. Terhenti degupan jantungnya. Buat seketika Athiya rasa dia terlupa bagaimana cara hendak bernafas.
“Untuk apa kau nak bersusah payah buat semua ini? Kau kahwin dengan aku nak hidup  senang. Jadi sekarang kau nikmati kesenangan yang kau inginkan sangat ini sampai sanggup gadai diri kau tu sendiri.” Tempelak Elman.
“Apa maksud abang?” Athiya benar-benar tak faham.
“Dah lah tak payah kau nak berlakon sangat lah. Kau dengan keluarga kau sama je. Daripada dulu menumpang kesenangan keluarga aku. Berlagak mengalahkan orang kaya tapi menagih simpati daripada keluarga aku. Sanggup jual anak sendiri untuk membalas budi.” Caci Elman.
Terluka. Memang teruk rasanya hati Athiya tercalar dengan kata-kata cacian daripada suaminya. Ini rupanya hadiah malam pertama dia bergelar seorang isteri. Dia akui selama ini keluarganya banyak menumpang kesenangan keluarga Elman. Di sebabkan ibunya sepupu rapat ayah Elman dan merupakan kawan baik Puan Melur, memang Athiya akui ibu dan bapanya seringkali mempergunakan keluarga Elman untuk hidup senang. Tapi itu orang tuanya bukan dia.
“Tak baik abang cakap macam tu...” Lirih suara Athiya.
“Tak baik? Siapa lagi kejam? Mungkir janji dengan keluarga aku. Bila orang tua kau minta hantaran tinggi, aku terima. Bila adik kau merengek nak buat majlis kat rumah ini, aku ikutkan saja. Tapi apa yang aku dapat akhirnya? Adik kau tinggalkan aku macam tu je.” Ungkit Elman
“Tapi abang sendiri setuju untuk buat majlis tu kat sini. Hantaran tu...” Athiya rasa pelik apabila Elman mengungkit.
“Memang aku setuju. Aku setuju kerana Athila. Bukan untuk kau. Tapi adik kau tu langsung tak ada hati kan? Dia tinggalkan aku macam itu je. Keluarga kau pula. Mudah benar mereka setuju untuk jadikan kau pengganti. Aku ini dah macam tak ada harga diri je. Sekarang aku nak tanya kau, keluarga siapa yang sanggup menipu? Siapa yang kejam?
Eh, Athiya... kau dengar sini ya. Mungkin mama dan papa aku tak cakap apa-apa tentang pekara ini. Tapi aku tak akan lupa sampai mati. Selama ini dah banyak aku korbankan untuk adik kau dan keluarga kau. Tapi sedikit pun mereka tak hargai semua yang aku buat. Selepas ini, mereka jangan ingat hanya kerana aku dah kahwin dengan kau, mereka boleh ambil kesempatan ke atas aku dan keluarga aku.” Ujar Elman Sinis. Merah wajah putihnya menahan marah. Jelas Elman sedang melepaskan kemarahan di hatinya.
 “Saya... saya nak pergi bilik air...” Athiya melarikan diri.
Kalau ikutkan hatinya, Athiya mahu melawan. Athiya mahu menegakkan kebenaran. Dia mahu Elman tahu yang tidak adil bagi Elman menghukum diatas sesuatu yang dia tak lakukan. Athiya juga ada perasaan. Athiya rasa terhina apabila Elman jelas dan nyata menolak kehadiran dia sebagai isteri. Cara Elman menuturkannya umpama dia ini hanyalah barang bukannya seorang manusia yang punya harga diri.

Athiya menyimbah wajahnya dengan air berkali-kali. Dia ingin melawan rasa ingin menangis. Dia tak mahu menangis. Dia tak mahu nampak lemah. Dia tak mahu melayan rasa kecewa. Tapi dia memang kecewa. Air matanya menitis dalam diam. Menangis tak bersuara. Sakitnya rasa itu. Peritnya perasaan itu. Ya Allah, kenapa terlalu sakit hatinya dan mengapakah terlalu perit untuknya kali ini?
Athiya sudah terlalu biasa jadi yang kedua. Dia tahu dia hanya pilihan kedua selepas Athila. Bagi semua orang pun, dia hanyalah pilihan kedua selepas adiknya. Dia hanya akan mendapat segala apa yang adiknya sudah tidak inginkan lagi. Dia hanya akan mendapat sisa daripada Athila. Tapi selama ini, biarpun dia sedar kenyataan itu, tak pernah sekalipun dia rasa rendah diri seperti malam ini.
‘AKU SETUJU KERANA ATHILA. BUKAN KAU....’ Kata-kata Elman itu bagaikan belati menusuk tajam ke dalam hatinya. Membunuh sebahagian keikhlasannya. Menghapuskan harga diri yang tinggal buat dia. Ya dirinya tak berharga seperti Athila. Benar, dia tak layak pun menggantikan Athila. Siapalah dia berbanding Athila?
Tapi adil kah dia di hukum atas sesuatu yang dia tidak lakukan? Adilkah untuk Elman menghakimi dia atas segala yang Athila lakukan? Kenapa Elman hendak salahkan dia? Jika benar Elman tak suka dia menjadi pengganti, kenapa lelaki itu tidak menolak dan membatalkan saja majlis pernikahan ini? Kenapa perlu heret dia ke dalam dendam Elman?
Tiba-tiba Athiya merasakan dirinya yang bodoh. Dia yang bodoh kerana bersetuju dengan rancangan ini sedangkan di mata Elman, dia hanyalah barang cagaran yang tak berharga. Yang mengheret harga diri Elman ke tahap terendah. Kerana dia dipilih sebagai pengganti, Elman sudah terasa terhina. Nampak sangat dia yang langsung tidak bernilai sehingga boleh membuatkan saham Elman jatuh menjunam.
Namun Athiya hendak salahkan siapa untuk segalanya ini? Dia sendiri yang bodoh. Yang naif untuk berkorban. Dalam dia mengikhlaskan diri menjadi isteri kepada Elman, rupanya di mata lelaki itu dia hanyalah barang untuk Elman melepaskan segala dendam terhadap keluarganya. Hanya orang bodoh yang dihukum atas kekejaman keluarganya. Tak ubah seperti sampah, nilainya dimata suaminya ini.
“Teruknya kau ni Athiya. Ini pun nak nangis ke? Macamlah kau tak biasa jadi pilihan kedua.” Athiya cuba menenangkan dirinya sendiri. Dia mencuci mukanya sekali lagi. Menghapuskan segala sisa tangisnya.
Senyuman di tarik. Pipi dia tepuk lembut. Cuba menaikkan mood sendiri. Tak guna dia hendak menangis atau bersedih untuk perkara yang dah terjadi. Apa yang dah berlaku biarkan berlalu. Yang penting dia harus kuat. Dia mesti kuat untuk menempuhi kemarahan Elman nanti. Berhadapan dengan kedinginan Elman.
“Bagus juga tahu awal-awal. Tak perlu lah kita menyimpan harapan ya cik hati?” Ujar Athiya pada diri sendiri sambil menepuk dadanya.

Bersama senyuman hambar, Athiya melangkah keluar daripada bilik air. Kali ini dia langsung tidak menegur Elman yang masih ralit di meja kerja. Dia menonong je terus ke katil dan merebahkan tubuhnya di atas tilam empuk milik Elman. Masa untuk dia tidur. Harapnya apabila esok menjelma, dia akan lupa apa yang terjadi malam ini. Dia akan melupakan kata-kata yang menyakitkan itu.

Prolog : Setia Menunggu

PROLOG


Athiya merenung sekeping cek Elman hulurkan padanya. WOW, seratus ribu. Banyak tu. Baik hati pula encik suami dia hendak menghulurkan duit sebanyak tu pada dia. Dahi Athiya berkerut. Dia pelik kenapa suami dia memberi dia duit sebanyak ini? Untuk apa? Dia tak meminta sesen pun daripada suaminya.
“Banyaknya. Kenapa abang bagi Aya duit ni?” Soal Athiya sambil mengambil huluran Elman. Wajahnya manis dan naif.
“Bayaran untuk layanan kau malam tadi.” Ujar Elman tanpa memandang wajah Athiya.
Saat kata-kata itu terlepas daripada bibir Elman, senyuman Athiya terus mati. Cek ditangan Athiya juga terlepas. Apa yang suaminya katakan tadi? Bayaran? Ya Allah, terhinanya rasa Athiya saat ini. Dia seorang isteri bukan pelacur.
“Apa maksud abang?” Tergagap-gagap Athiya bertanya. Dia mahukan kepastian.
“Aku berterima kasih dengan apa yang kau berikan malam tadi. Apa yang berlaku semalam adalah kesilapan. Dan itu adalah bayaran untuk...” Sebelum sempat Elman mengahabiskan ayatnya, Athiya cepat sangat memintas.
“Ohh... banyak ni je ke?” Athiya sendiri tak tahu kenapa itu yang terkeluar daripada bibirnya. Yang dia tahu hatinya sakit.
“What?” Elman terkejut.
“Taklah. Saya tak sangka banyak ini je bayaran saya. Awak kan orang pertama yang sentuh saya.” Ujar Athiya sinis.
Benar dia rasa terhina. Tapi dia tak rasa dengan menegakkan diri sendiri akan membuat hatinya yang berkecai ini akan pulih. Lebih baik dia membenarkan saja kata-kata Elman. Sekurang-kurangnya dengan cara ini dia boleh menyelamatkan sedikit airmukanya.
“Jadi berapa kau nak?”
“Sejuta. Itu harga maruah saya.” Athiya meletakkan harga.
“Baik.” Putus Elman.
Athiya hanya melihat Elman menulis nilai yang dia minta diatas sekeping cek. Tanpa perasaan.
“Nah.” Sekali lagi Elman menghulurkan sekeping cek.
“Terima kasih.” Ucap Athiya tanpa perasaan. Dia bangkit dari tempat duduknya. Baru tiga langkah dia berpaling dan meninggalkan meja Elman. Suara Elman menghentikan langkahnya.
“Nuril Athiya Mohd Nazim, aku bertaklik pada mana kau menunaikan cek itu maka jatuh talak satu keatas kau.” Ucap Elman.

Athiya memejam mata. Setitis airmata jatuh dihujung matanya. Hatinya sudah tidak mampu merasakan apa-apa saat mendengar ucapan taklik daripada Elman. Dia sudah tidak mampu merasakan apa-apa. Hatinya sudah hancur lumat.

Sinopsis Setia Menunggu

SINOPSIS KERANA KITA BERDUA

Jadi yang kedua? Ala.. Athiya memang dah terbiasa jadi yang kedua setelah adiknya Athila. Dia cuma pilihan kedua selepas Athila. Kerana itu dia sentiasa berusaha untuk tidak terlibat dengan urusan Athila dan keluarganya. Namun apabila orang tua dia meminta untuk dia mengganti Athila sebagai isteri kepada Megat Elman, Athiya tak dapat menolak. Kerana dia sudah terbiasa menjadi yang kedua.
Besar harapannya menyulam bahagia bersama Megat Elman. Dia inginkan kehidupan umpama kisah dongeng yang penuh pari-pari cinta. Namun bahagia yang diharapkan tak kunjung tiba, biarpun sudah banyak yang dia korbankan. Hari-hari hatinya di guris. Dan yang terakhir, hatinya berkecai umpama kaca yang dihempas ke lantai apabila suami sendiri meletak harga pada kesucian dirinya sebagai seorang isteri. Di akhirnya dia sedar, dia umpama pelacur di mata sang suami. Apalah guna dia terus mengasuh luka? Baiklah dia pergi kerana dirinya langsung tak dihargai.
Kehilangan Athiya membuatkan Elman sedar, dia tidak bisa hidup tanpa isterinya. Kali ini dia tega melepaskan semua asalkan Athiya kembali kepadanya. Dia tak kisah pada harta. Dia dah tak kisah pada keluarga Athiya yang mata duitan. Dia dah tak peduli jika Athiya ikhlas mencintainya atau bersamanya hanya kerana kekayaan. Yang dia mahu hanyalah ada Athiya disampingnya.
Bertahun mereka berpisah. Mereka bertemu semula dengan sisi yang berbeza. Elman yang dulunya bengis, kini manis menagih perhatian Athiya. Dan Athiya yang dulunya hidup dalam impian kisah dongeng, kini menjadi terlalu berhati-hati untuk menaruh kepercayaan pada sebuah kebahagiaan. Mereka bagai bertukar identiti.
Tak mudah untuk mereka bersama. Lebih sukar untuk mereka terus bersama, lebih-lebih lagi dengan campur tangan keluarga. Sikap keluarga yang tamak haloba. Orang sekeliling yang mudah menghukum. Bolehkah mereka bertahan?

Ku Setia Menunggu...