Saturday, August 12, 2017

BAB 2 : Setia Menunggu

BAB 3


    Nak kejut ke tidak? Athiya menggaru kepala yang masih diselubung telekung. Matanya tunak memerhatikan Elman yang masih lena diatas katil. Dia baru selesai solat subuh. Sekarang ini dia tengah berteka-teki sama ada nak kejutkan Elman atau tidak. Hendak kejutkan dia takut kena marah dengan Elman. Tapi kalau dia tak kejutkan Elman, dia pula sama-sama ada saham akhirat sebab Elman tak solat pagi ini.
   Arghh... Lebih baik Elman yang marahkan dia daripada dia berdosa. Perlahan-lahan Athiya menyentuh ibu kaki Elman. Di goyang-goyang perlahan sambil bibirnya menyeru nama Elman. Meminta lelaki itu bangun dan solat subuh. Berkali-kali jugalah dia terpaksa melakukan hal itu sebelum Elman terbangun dan terus menjerit.
   “Makk!!!” Elman melompat kebelakang sehingga kepalanya terkena kepala katil.
   Rasa mamai Elman terus hilang. Elman terkejut sehingga dia boleh terduduk bersandar di kepala katil. Conforter ditarik rapat menutup separuh mukanya. Mana dia tak terkejut. Sebaik dia buka mata dan dalam rabun, dia nampak ada lembaga putih berdiri di hujung kakinya. Sedang memegang kakinya pula tu.  Mahu tak melayang semangatnya sekejap.
  “Abang... Aya ni.” Athiya pantas memperkenalkan diri. Bibirnya dikemam rapat untuk menahan ketawa yang sipi-sipi lagi nak terlepas. Lucu sungguh rupa suaminya terkejut. Yang tak tahan siap panggil mak tu.
  “Aya.” Elman bagai cuba mengingati sepotong nama itu sambil tangannya sudah melepaskan conforter yang menutup wajahnya tadi. Otak Eman segera memproses maklumat. Barulah dia teringat semalam dia sudah bernikah dengan Athiya.
  “Astaghfirullah... Apa kau buat ni? Dengan lampu tak buka semua. Berdiri pakai telekung macam tu. Kau nak bunuh aku ke apa???” Elman memandang garang ke arah Athiya.
  “Aya nak kejutkan abang solat subuh. Dah subuh ni.” Perlahan saja suara Athiya membalas. Terkebil-kebil mata dia kena marah oleh Elman. Pagi-pagi dah kena marah..
  “Hurm... kau on semua lampu. Hish kau ni.” Rungut Elman. Hilang macho dia pagi ni.
  “Ya. Abang bangunlah. Solat subuh. Tak elok lewat-lewatkan solat.” Pesan Athiya perlahan. Risau dia kalau kena sembur lagi oleh Elman.
  “Ya. Jangan pandai nak ceramah orang je. Kau tu dah solat belum?” Soal Elman.
  “Dah. Aya baru je lepas solat.” Jawab Athiya. Dia menekan alat kawalan kecil berwarna hitam, untuk menghidupkan semua lampu. Seperti yang di arahkan oleh suaminya.
  “Macam bagus sangat...” Omel Elman.
   Athiya mendengar omelan Elman. Sentap juga hatinya.. Athiya sedar apa pun yang dia buat akan nampak serong dimata Elman. Nak buat macam mana, kalau orang dah tak suka tu memang tak akan nampak kebaikan dia. Terima jelah Athiya. Tahan je lah telinga tu.
   Apalah nasib. Hari pertama bangun sebagai seorang isteri, dah kena marah. Bukan nak ucap terima kasih ke apa. Kena sindir lagi ada. Untung juga dia tak mengada nak tunggu solat jemaah dengan Elman tadi. Kalau tidak lagi dia malu. Ya lah, tak kan dia nak jadi makmum pada imam yang tak sudi. 

  “Elman solat subuh tak pagi tadi? Abah tak nampak pun Man kat bilik solat.” Tan Megat Ehsan bertanya pada anaknya yang sedang bersarapan. Di hujung bibirnya terbit senyuman penuh makna untuk anaknya yang baru bergelar suami.
  “Solat abah. Man solat kat bilik. Hantu bungkus tolong kejutkan.” Selamba Elman menjawab.
  Athiya tersedak mendengar jawapan suaminya. Nasib baik tak tersembur mee hoon goreng dalam mulut dia. Hantu bungkus? Sampai hati Elman menggelarnya begitu.
  “Kenapa kak?” Bisik Mawar yang duduk disebelahnya. Sibuk nak ambil tahu.
  “Pagi tadi akak terlupa buka telekung terus pergi bangunkan abang. Jadi abang Elman terkejut tengok akak.” Cerita Athiya dalam nada yang rendah. Tak mahu perbualan dia dan Mawar didengari oleh orang lain.
  “Mesti lucu muka abang kan kak?” Mawar sudah tertawa kecil. Tak dapat dia nak tahan gelak apabila fikirannya membayangkan wajah abangnya ketika itu.
  Athiya pun nak rasa tergelak bila teringatkan muka Elman pagi tadi. Tapi senyumannya segera mati apabila dia perasan Elman yang duduk dihadapannya sedang memandang tajam ke arah dia. Jangankan kata nak ketawa. Nak tersenyum pun dia dah tak berani. Akhirnya dia tertunduk memandang sarapan.
  “Ini Man dan Aya siap-siap pagi ni nak ke mana?” Puan Melur bertanya.
  “Man nak pergi pejabat sekejap lagi Ma.” Balas Elman.
  “Office? Kan hari ahad ni Man.” Tegur Puan Melur.
  “Sebelum ni pun Man ada juga masuk office hari ahad. Tak ada masalah pun.”
  “Memanglah. Tapi Man kan baru nikah semalam.” Pujuk Puan Melur lagi.
  “Nikah pun macam tak nikah je mama.” Guman Elman dengan nada rendah.
Auchhh... Tersentap lagi hati Athiya mendengar kata-kata Elman yang tajam menusuk ke hatinya itu. Tahulah Elman tak sudi nak kahwin dengan dia. Tapi janganlah mengungkit macam tu. Nampak sangat lelaki tu tak ikhlas. Dah tak ikhlas tu senyap-senyap sudah.
  “Elman.” Tegas suara Megat Ehsan menegur anaknya.
  “Lagipun Man ada board meeting esok. Jadi Man kena masuk office.” Elman memberi alasan.
  “Aya pula nak pergi mana?”Lembut suara Megat Ehsan menyapa menantunya. Dia simpati pada Athiya. Tak pasal- pasal gadis itu terheret sekali dengan masalah mereka. Menjadi mangsa keadaan.
  “Nak balik rumah mummy sekejap. Ambil barang.” Sopan Athiya menjawab. Dia segan disapa Megat Ehsan.
  “Kalau macam tu biar Elman temankan kamu. Man, teman isteri kamu balik rumah mertua kamu.” Putus Megat Ehsan.
  “Tapi abah...”
  “Tak ada tapi-tapi Man.” Tegas Megat Ehsan lagi.
  “Hurmm...” Elman terpaksa mengalah jua. Tewas pada ketajaman mata Megat Ehsan dan ketegasan suara abahnya itu. Tak sanggup nak cari pasal dengan abah sendiri.
  Kerana terpaksa aku relakan. Sempat Elman menjeling tajam pada Athiya. Hish... minah ni tak habis-habis hendak menyusahkan dia. Elman tak puas hati.

No comments: