Saturday, August 12, 2017

BAB 1 : Setia Menunggu


BAB 1

“Abang nak minum? Aya ada bawa air untuk abang.” Athiya meletakkan segelas air suam dan secawan kopi di atas meja. Tertib tingkahnya kerana tak mahu menganggu Elman yang kelihatan sibuk dengan kerja.
“Kau tak perlu nak susah-susah buat kerja ini semua. Kat rumah ini ada banyak orang gaji yang boleh buat semua kerja ni.” Dingin suara Elman. Mata yang dilindungi dengan cermin mata itu langsung tak memandang ke arah Athiya. Masih memandang skrin laptop.
“Tak susah pun.” Ujar Athiya ikhlas.
Jujurnya Athiya kekok berdua-duaan dengan Elman. Dia rasa serba salah untuk melakukan apa saja di hadapan lelaki itu. Biarpun dia tahu Elman tak memandang pun kearahnya tapi entah kenapa Athiya rasa yang dirinya sentiasa diperhatikan.
“Aku kata tak perlu kan? Jadi tak perlu.” Tegas Elman. Buat pertama kali matanya menikam terus anak mata Athiya.
Kaku terus Athiya di panah oleh pandangan tajam Elman. Terhenti degupan jantungnya. Buat seketika Athiya rasa dia terlupa bagaimana cara hendak bernafas.
“Untuk apa kau nak bersusah payah buat semua ini? Kau kahwin dengan aku nak hidup  senang. Jadi sekarang kau nikmati kesenangan yang kau inginkan sangat ini sampai sanggup gadai diri kau tu sendiri.” Tempelak Elman.
“Apa maksud abang?” Athiya benar-benar tak faham.
“Dah lah tak payah kau nak berlakon sangat lah. Kau dengan keluarga kau sama je. Daripada dulu menumpang kesenangan keluarga aku. Berlagak mengalahkan orang kaya tapi menagih simpati daripada keluarga aku. Sanggup jual anak sendiri untuk membalas budi.” Caci Elman.
Terluka. Memang teruk rasanya hati Athiya tercalar dengan kata-kata cacian daripada suaminya. Ini rupanya hadiah malam pertama dia bergelar seorang isteri. Dia akui selama ini keluarganya banyak menumpang kesenangan keluarga Elman. Di sebabkan ibunya sepupu rapat ayah Elman dan merupakan kawan baik Puan Melur, memang Athiya akui ibu dan bapanya seringkali mempergunakan keluarga Elman untuk hidup senang. Tapi itu orang tuanya bukan dia.
“Tak baik abang cakap macam tu...” Lirih suara Athiya.
“Tak baik? Siapa lagi kejam? Mungkir janji dengan keluarga aku. Bila orang tua kau minta hantaran tinggi, aku terima. Bila adik kau merengek nak buat majlis kat rumah ini, aku ikutkan saja. Tapi apa yang aku dapat akhirnya? Adik kau tinggalkan aku macam tu je.” Ungkit Elman
“Tapi abang sendiri setuju untuk buat majlis tu kat sini. Hantaran tu...” Athiya rasa pelik apabila Elman mengungkit.
“Memang aku setuju. Aku setuju kerana Athila. Bukan untuk kau. Tapi adik kau tu langsung tak ada hati kan? Dia tinggalkan aku macam itu je. Keluarga kau pula. Mudah benar mereka setuju untuk jadikan kau pengganti. Aku ini dah macam tak ada harga diri je. Sekarang aku nak tanya kau, keluarga siapa yang sanggup menipu? Siapa yang kejam?
Eh, Athiya... kau dengar sini ya. Mungkin mama dan papa aku tak cakap apa-apa tentang pekara ini. Tapi aku tak akan lupa sampai mati. Selama ini dah banyak aku korbankan untuk adik kau dan keluarga kau. Tapi sedikit pun mereka tak hargai semua yang aku buat. Selepas ini, mereka jangan ingat hanya kerana aku dah kahwin dengan kau, mereka boleh ambil kesempatan ke atas aku dan keluarga aku.” Ujar Elman Sinis. Merah wajah putihnya menahan marah. Jelas Elman sedang melepaskan kemarahan di hatinya.
 “Saya... saya nak pergi bilik air...” Athiya melarikan diri.
Kalau ikutkan hatinya, Athiya mahu melawan. Athiya mahu menegakkan kebenaran. Dia mahu Elman tahu yang tidak adil bagi Elman menghukum diatas sesuatu yang dia tak lakukan. Athiya juga ada perasaan. Athiya rasa terhina apabila Elman jelas dan nyata menolak kehadiran dia sebagai isteri. Cara Elman menuturkannya umpama dia ini hanyalah barang bukannya seorang manusia yang punya harga diri.

Athiya menyimbah wajahnya dengan air berkali-kali. Dia ingin melawan rasa ingin menangis. Dia tak mahu menangis. Dia tak mahu nampak lemah. Dia tak mahu melayan rasa kecewa. Tapi dia memang kecewa. Air matanya menitis dalam diam. Menangis tak bersuara. Sakitnya rasa itu. Peritnya perasaan itu. Ya Allah, kenapa terlalu sakit hatinya dan mengapakah terlalu perit untuknya kali ini?
Athiya sudah terlalu biasa jadi yang kedua. Dia tahu dia hanya pilihan kedua selepas Athila. Bagi semua orang pun, dia hanyalah pilihan kedua selepas adiknya. Dia hanya akan mendapat segala apa yang adiknya sudah tidak inginkan lagi. Dia hanya akan mendapat sisa daripada Athila. Tapi selama ini, biarpun dia sedar kenyataan itu, tak pernah sekalipun dia rasa rendah diri seperti malam ini.
‘AKU SETUJU KERANA ATHILA. BUKAN KAU....’ Kata-kata Elman itu bagaikan belati menusuk tajam ke dalam hatinya. Membunuh sebahagian keikhlasannya. Menghapuskan harga diri yang tinggal buat dia. Ya dirinya tak berharga seperti Athila. Benar, dia tak layak pun menggantikan Athila. Siapalah dia berbanding Athila?
Tapi adil kah dia di hukum atas sesuatu yang dia tidak lakukan? Adilkah untuk Elman menghakimi dia atas segala yang Athila lakukan? Kenapa Elman hendak salahkan dia? Jika benar Elman tak suka dia menjadi pengganti, kenapa lelaki itu tidak menolak dan membatalkan saja majlis pernikahan ini? Kenapa perlu heret dia ke dalam dendam Elman?
Tiba-tiba Athiya merasakan dirinya yang bodoh. Dia yang bodoh kerana bersetuju dengan rancangan ini sedangkan di mata Elman, dia hanyalah barang cagaran yang tak berharga. Yang mengheret harga diri Elman ke tahap terendah. Kerana dia dipilih sebagai pengganti, Elman sudah terasa terhina. Nampak sangat dia yang langsung tidak bernilai sehingga boleh membuatkan saham Elman jatuh menjunam.
Namun Athiya hendak salahkan siapa untuk segalanya ini? Dia sendiri yang bodoh. Yang naif untuk berkorban. Dalam dia mengikhlaskan diri menjadi isteri kepada Elman, rupanya di mata lelaki itu dia hanyalah barang untuk Elman melepaskan segala dendam terhadap keluarganya. Hanya orang bodoh yang dihukum atas kekejaman keluarganya. Tak ubah seperti sampah, nilainya dimata suaminya ini.
“Teruknya kau ni Athiya. Ini pun nak nangis ke? Macamlah kau tak biasa jadi pilihan kedua.” Athiya cuba menenangkan dirinya sendiri. Dia mencuci mukanya sekali lagi. Menghapuskan segala sisa tangisnya.
Senyuman di tarik. Pipi dia tepuk lembut. Cuba menaikkan mood sendiri. Tak guna dia hendak menangis atau bersedih untuk perkara yang dah terjadi. Apa yang dah berlaku biarkan berlalu. Yang penting dia harus kuat. Dia mesti kuat untuk menempuhi kemarahan Elman nanti. Berhadapan dengan kedinginan Elman.
“Bagus juga tahu awal-awal. Tak perlu lah kita menyimpan harapan ya cik hati?” Ujar Athiya pada diri sendiri sambil menepuk dadanya.

Bersama senyuman hambar, Athiya melangkah keluar daripada bilik air. Kali ini dia langsung tidak menegur Elman yang masih ralit di meja kerja. Dia menonong je terus ke katil dan merebahkan tubuhnya di atas tilam empuk milik Elman. Masa untuk dia tidur. Harapnya apabila esok menjelma, dia akan lupa apa yang terjadi malam ini. Dia akan melupakan kata-kata yang menyakitkan itu.

No comments: