Wednesday, April 14, 2010

Dengan Setiap Nafasku 2

        Zafrul melepaskan lelah. Dia mengeluh sambil merenggangkan badannya. Terlalu banyak kerja yang perlu dia lakukan kini. Semakin besar syarikat ini semakin besar bebanan yang dia tanggung. Penat itu adalah penemannya.
        Mata Zafrul melirik pada bingkai gambar di atas mejanya. Dengan sendiri senyuman menyapa di bibirnya. Dia menegakkan kembali duduknya. Dia mengusap lembut gambar itu. Gambar penyuntik semangatnya. Itulah punca semangatnya setiap kali dia rasa penat dan lelah. Ya dia perlu berusaha demi wanita di dalam bingkai gambar ini. Berusaha agar dia mampu berikan kebahagiaan pada wanita ini. Bilakah dia akan temui wanita ini lagi?
        “Zaf! Patutlah aku ketuk tak dengar, aku beri salam pun tak jawab. Ini kerja kau. Sudah-sudahlah tu Zaf. Dah empat tahun dah pun. Tak kan selamanya kau nak begini?”  Zafrul tak sedar bila Iqbal, teman baiknya merangkap rakan kongsinya ini masuk. Tahu-tahu Iqbal sudah ada di hadapan matanya. Kantoi lagi dia kali ini.
        “Iq, bila masa kau masuk? Aku tak sedar pun.” Zafrul berlagak seperti biasa. Hampir sepuluh tahun dia mengenali Iqbal.
 Perih jerih mereka lalui bersama. Syarikat mereka duduki sekarang bukan warisan dari sesiapa tapi hasil titik peluh mereka berdua yang bersengkang mata menubuhkah Syarikat ini. Seperti mana Iqbal mengenali Zafrul begitu juga Zafrul mengenali Iqbal. Tiada rahsia antara mereka.
“Dah lama aku masuk. Kau tu yang tak sedar bila aku masuk. Mana nak sedar kalau asyik dok belek lagi gambar tu. Kau tak tanya ke kat mertua kau? Mana tahu dia orang tahu kat mana isteri kau berada.” Buat sekian kalinya Iqbal bertanya lagi soalan yang sama. Mencuba nasib. Mana tahu kali ini Zafrul sudi nak menjawab soalan itu.
“Kau ni berapa kali nak tanya soalan tu. Aku tak tanya lagi. Aku tak nak buatkan dia orang serba salah. Cukuplah apa yang dah berlaku dulu. Lagipun Alia dah pesan pada semua yang dia tak mahu aku tahu dia di mana.” Lemah Zafrul berkata-kata.   
        “Habis kau nak biarkan macam tu je?” Iqbal berkata tak puas hati. Cukuplah dia lihat empat tahun Zafrul menderita begini.
        “Aku tak nak ganggu mereka lagi Iq. Hmm kau cari aku ni kenapa? Lewat pula kau balik hari ni. Selalu belum pukul 5 lagi, kau dah lesap.” Zafrul mengalih topik perbincangan.
        “Hmm, aku datang ni nak ajak kau makan malam. Ingat lagi tak Atlantic Dreamer? Aku dah dapat buat tempahan kat situ. Kau nak join tak aku dengan Rita?” Itu niat Iqbal bertemu dengan Zafrul sebenarnya.
        “Atlantic Dreamer? Bukan susah ke nak masuk restoren tu. Aku dengar sampai kena tempah berbulan-bulan.” Zafrul ingin kepastian. Dia seperti pernah dengar restoren yang di sebut-sebut itu.  Restoren yang cukup terkenal di kalangan golongan elit.
        “Iyalah. Tempat tu. Memang payahlah nak masuk tempat tu. Kalau Rita tak teringin sangat tak ada maknanya aku nak tempah. Bayangkan aku tempah ni dah sebulan lebih tau. Tapi nak buat macam mana dah Rita tu mengandung, kang tak di turutkan, merajuk pula. Kau nak ikut tak?” Iqbal bersemangat bercerita. Semangat seorang suami yang akan menyambut kelahiran anak yang ketiga. Iqbal kahwin lewat beberapa bulan darinya pun sudah ada tiga orang anak. Dia?
        “Tak apalah. Kau dating je dengan Rita tu. Aku ingat malam ni aku nak balik rumah mertua akulah. Kita bercerita tadi baru aku perasan, bulan ni aku tak balik sana lagi.” Zafrul ikhlas menolak. Dia tak mahu menyemak nanti.
        “Okaylah kalau macam tu. Aku pergi dulu lah. Nanti tertunggu pula Rita.” Iqbal meminta diri. Zafrul hanya memandang temannya itu pergi. Adakalanya Zafrul cemburu melihat kebahagiaan Iqbal. Namun apa yang boleh dia lakukan semuanya sudah berlaku. Dia dah tak boleh berpatah balik lagi.




Atlantic Dreamer memang sesuai dengan statusnya sebagai restoren elit yang ternama. Suasananya cantik dan cukup tenang. Layanannya pun cukup cepat dan terlatih. Patutlah ramai yang bertandang ke mari. Iqbal sendiri rasa puas hati dengan tempat ini walaupun terpaksa berhempas pulas untuk mendapatkan tempahan untuk mala mini.
        “Cantikkan tempat ni bang. Rasa macam tenang sangat. Tak sangka kat Malaysia pun ada restoren macam ni.” Rita memuji kecantikan restoren ini. Terpegun dia ketika melangkah masuk tadi.
        “Cantik tu memanglah cantik Ita, tapi nak tempah tempat ni bukan senang tau. Sebulan lebih baru abang dapat. Tapi tak apa. Demi Ita dan baby kita abang sanggup.” Iqbal berkata romantis. Tangannya mengenggam jari-jemari Rita di atas meja. Rita tersenyum bahagia. Sungguh dia rasa bahagia hidup bersama Iqbal. Iqbal memberi kebahagiaan buatnya.
        “Terima kasih abang.” Ucap Rita dengan bersungguh. Menghargai kasih yang di limpahkan buatnya.
        “Abang dah lama terima kasih Ita.” Usik Iqbal manja. Sambil menunggu makanan sampai mereka berbual kosong. Berbicara tentang anak mereka sehinggalah masuk kisah Zafrul.
        “Abang dah ajak Zaf datang malam ni, tapi dia kata dia tak nak ganggu kita. Dia nak balik rumah mertua dia.” Jawab Iqbal apabila Rita bertanyakan Zafrul.
        “Kesian dia tu kan bang. Rita kesian tengok dia tapi kita tak boleh pula nak tolong.  Abang pernah jumpa Alia?” Rita bertanya mengambil berat.
        “Hari-hari abang jumpa Alia.” Ujar Iqbal selamba. Rita terperanjat mendengar kata-kata itu. Matanya terbuka besar.
        “Hari-hari abang jumpa Alia?” Rita sudah bertanya dalam nada cemburu. Wajahnya mula cuak dan masam. Iqbal hanya tersenyum mendengar pertanyaan itu. Tahu isteri kesayangannya itu sudah mula cemburu.
        “Iyalah hari-hari abang jumpa Alia dalam bilik Zaf. Pejabat Zaf kan penuh dengan gambar Alia. Setiap kali abang masuk abang nampak la Alia.” Ujar Iqbal dalam senyuman. Suka mengusik isterinya itu.
        “Hish abang ni. Orang betul-betul dia main-main pula.” Ujar Rita dengan nada lucu. Tahu dirinya di usik. Iqbal memang suka menyakat dia.
        “Abang. Tengok tu. Ada artis ke?” Rita menunjukkan ke satu arah yang agak tersorok. Kelihatan seorang wartawan sedang menemu ramah seorang wanita dengan seorang photographer yang sibuk mengambil gambar.
        “Agaknya lah sayang. Tempat macam ni kan esklusif.” Iqbal turut melihat ke arah yang sama. Dia memerhati wanita yang sedang di temu ramah itu. Dia hanya dapat melihat pandangan sisi wajah wanita itu sahaja. Tapi entah kenapa hatinya berdetik yang dia seperti selalu melihat raut itu.
        “Siapa ye bang? Mesti dia cantik. Tengok dari sisipun bukan main cantik lagi.” Puji Rita. Ralit sebentar dia dan Iqbal memerhati panorama itu sehinggalah pelayan datang menghantar hidangan malam mereka.
        “Adik, siapa tu? Artis ke?” Rita meringankan mulut bertanya pada pelayan yang sedang sibuk menghidangkan makan malam mereka.
        “Oh. Itu bukan artis puan tapi pemilik restoren ni, Cik Alia.” Pelayan yang memakai tag nama Amran itu menjawab sopan sebelum meminta diri untuk beredar.
        “Cik Alia? Cantik namanya mesti orangnya pun cantik. Berjaya pula tu.” Rita memuji pemilik restoren ini.
        “Iyalah kot. Tapi abang macam pernah tengok orangnya.” Iqbal masih memikir kalau-kalau dia pernah terserempak dengan wanita itu di mana-mana.
        “Abang betul-betul pernah tengok ke? Abang saja nak menggatal?” Mode Rita sudah berubah kepada mode cemburu bila mendengar suaminya berkata bergitu.
        “Betullah yang. Abang macam pernah tengok. Agaknya abang pernah terserempak kat mana-mana kot. Nak menggatal apanya? Abang menggatal dengan ayang sorang je. Dah lah tak payah nak fikir lagi. Jom kita makan.” Iqbal malas melanjutkan cerita. Takut merosakkan mood mereka saja nanti.


        “Thanks Alia. Kalau kau tak ada tak tahulah aku macam mana nak cari bahan ni. Dahlah nak esok juga. Artis sekarang ni memang buat hal la.” Julia mengucapkan terima kasih pada Alia yang sudi di temu ramah olehnya.
        “Alah. Ini masa kau Ju. Mana tahu esok-esok masa aku pula. Kau tak nak makan dulu ke?” Alia bertanya pada Julia.
Julia adalah temannya waktu di university dulu. Walau berlainan bidang tapi mereka agak rapat kerana mereka duduk satu aras ketika di Kolej Kediaman. Mengenangkan talian sahabat itu Alia sudi menerima pelawaan Julia untuk di temu ramah pada malam ini dengan syarat hanya kisah kejayaan dia saja untuk di kongsi pada umum bukan soal peribadinya.
“Tak apalah Alia. Aku kena balik siapkan kerja ni untuk terbitan. Esok kau belilah metro ye. Muka kau mesti satu page aku bagi.” Usik Julia.
“Kau ni ada-ada je.”
“Aku balik dulu Alia. Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam.” Jawab Alia sambil bersalaman dengan Julia. Alia menghantar Julia dengan pandangan matanya sebelum bergerak ke pejabatnya. Dalam perjalanan sekangkang kera itu, Alia sempat memberi senyuman pada beberapa pelanggannya yang sedang menjamu selera.


“Sayang. Abang tahu kat mana abang jumpa dia. Itu Alia, isteri Zaf.” Iqbal akhirnya ingat di mana dia nampak Alia. Itupun dia kenal ketika Alia melemparkan senyuman buat mereka yang sedang menjamu selera. Wajah Alia jelas di matanya ketika itu mengingatkan Iqbal pada gambar di dalam pejabat Zafrul. Masakan dia tak cam Alia kalau hari-hari matanya di jamu wajah Alia setiap kali melangkah masuk pejabat Zafrul.
“Betul kea bang?” Rita seperti tidak percaya. Mana dia nak percaya kalau tiba-tiba suaminya berkata begitu.
“Betullah Ita. Tapi abang tak cam sebab abang nampak dari sisi je. Sekarang baru abang cam bila abang tengok dari depan. Tak mungkin salahnya. Abang cam sangat Alia isteri Zaf tu. Dah tiap-tiap hari abang tengok gambar Alia dalam bilik Zaf. Abang yakin sangat itu Alia isteri Zaf.”  Iqbal berkobar-kobar meyakinkan Rita.
“Kalau macam tu. Alhamdulillah bang. Akhirnya Zaf akan jumpa balik isterinya. Abang tak nak call Zaf ke?” Rita bersyukur kalau apa yang Iqbal katakan itu benar belaka.
“Tak payahlah Rita. Abang nak buat kejutan pada dia esok kat pejabat. Lagipun Alia tak lari mananya. Dia kan pemilik restoren ini. Malam ni malam kita.” Balas Iqbal. Di fikirannya sudah dapat menggambarkan apa yang terjadi esok. Mesti gempak wajah Zafrul ketika dia mengkhabarkan semua ini.
        

7 comments:

epy elina said...

hohohho....
best la crta ni....
crta ni brpa episode????
thniah pda cik iman...
sy suke crta ni...
x trkta...

saadiah~~ said...

pelik..alia still isteri zaf ke??
bkn dh jatuh talak ke??
hihihi..

Hasmunirah said...

Rasernye Alia tak tunaikan lagi cheque tu, so talak tak jatuh lagi la...zaf kan buat lafaz taklik je..
klu salah tlg betulkan yer...

fhj said...

betul....
selagi x tunaikan cek
selagi tu x jatuh talak
taklik kan?

Gurl said...

tertarik nak baca n3 seterusnya.
harap 2x ler zaf n alia tak cerai ... x sabar tgu n3 sterusnya

Gurl said...

tertarik nak baca n3 seterusnya.
harap 2x ler zaf n alia tak cerai ... x sabar tgu n3 sterusnya

Dr.LoVe said...

thanks iman tok ceta baru nie..best sesangat...ceta2 dr iman memang meletop...dan membuatkan Madam Tinta tertunggu2....