Monday, July 19, 2010

Bebaskan Aku Cinta -6-

BAB 6
Habislah.. Kecoh satu kampong.

Nadilla menguap lagi. Kalau tidak mengenangkan sekarang dia sedang berada di rumah orang tuanya, mungkin dia masih belingkar seperti ular sawa lagi di atas katil. Mengantuk sangat. Dia tidak tahu dia tertidur pukul berapa pagi tadi. Tahu-tahu dia terbangun apabila mendengar leteran ibunya yang seperti riuh pagi di Era itu. Ibu dan abahnya memang pantang kalau anak-anaknya bangun lambat sebab itu apabila berada di rumah ini, paling lewat dia bangun pun 7.30 pagi,

Nadilla sedaya upaya cuba membuka matanya. Rasanya matanya ini lebih berat dari lori empat tan. Mengantuk, ingin saja dia jeritkan perkataan itu agar semua orang tahu bertapa seksanya dia menahan rasa mengantuk ini. Ini semua gara-gara Taufiq. Kalau Taufiq tak gatal call dia semalam mesti dia tak mengantuk macam ni. Rasanya semalam dia bermimpi tidur ketika berbual dengan Taufiq. Ye ke mimpi?

“Dilla ni mengantuk sangat ni kenapa? Tak tidur ke semalam?” Encik Azril bertanyakan pada anak daranya seorang itu. Tengoklah mata dah macam di gantung beban berpuluh kilo.

“Tak boleh tidur abah.” Nadilla cuba menjawab sambil berusaha kelihatan segar. Dia konon-kononnya berselera makan. Tak di hiraukan pandangan mata lain turut memandangnya di meja makan itu. Terutama sekali ibunya.

Puan Nasiha sudah memandangnya dengan wajah terlukis ‘Ini yang ibu nak membebel ni’. Jadi sebelum ibunya memulakan sesi motivasi pagi menggantikan Dato Dr Fadillah Kamsah. Baik Nadilla menepis dulu dengan perisai ‘I okay mum’. Sungguh malam ini dia akan qada balik tidur yang terlepas ini.

“ Tak boleh tidur kenapa?” Aduh abangnya Aril bertanya. Abangnya ini memang tak boleh tengok dia senang sikit. Ada jelah nak di usik. Musim akan datang sah-sah dia daftarkan abang dia ni masuk raja lawak kat astro ria tu.

“Sibuklah abang ni. Makan jelah.” Guman Nadilla. Tak ingin menjawab persoalan itu. Bahaya jawab soalan itu. Boleh kecoh satu kampong kalau abang dia tahu dia tak tidur sebab bergayut dengan Taufiq.

“Dah-dah mari kita makan. Jangan nak kecoh pagi-pagi macam ni.” Encik Azril cepat masuk campur. Kalau di biarkan boleh panjang ceritanya nanti.

**********

“Assalamualaikum.” Kedengaran suara yang memberi salam dari hadapan rumah. Kebetulan ketika itu mereka baru habis membaca doa makan, terus terdengar suara yang memberi salam dihadapan rumah. 

Aril pantas memandang ke arah Nadilla. Nak suruh tengok siapa yang datanglah tu. Nadilla pula pantas memandang Adi. Kali ini Aril juga memandang Adi. Itu tandanya masing-masing malas nak bangun tengokkan siapa yang datang. Dan mangsanya utamanya adalah Adi. 

“Kenapa selalu Adi yang jadi mangsa?” Rungut Adi. 

“Sebab adik yang paling bongsu.” Jawapan yang bertahun-tahun menjadi alasan Aril dan Nadilla ketika tahap kemalasan terlampau lalu mangsanya adalah Adi.

“Kenapalah Adi dapat abang dan kakak yang kaki buli macam ni?” Guman Adi. Kali ini dia tetap bangun dari tempatnya.

“Itu kena tanya ibu dan abah.” Jawab Nadilla sambil di sambut oleh gelak tawa Aril. Encik Azril dan Puan Nasiha menggeleng saja kepala. Tahu sangat sikap anak-anaknya yang pelik itu.

**********

“Akak. Ini kawan akak, abang Taufiq datang.” Suara Adi memberitahu Nadilla kedatangan Taufiq. Macam mengumumkan ketibaan saja.

“Alah, adik nak balas dendamlah tu. Paling-paling Mak Limah, girlfriend adik tu yang datang.” Jawab Nadilla yang membelakangi Adi langsung tidak menoleh. Nadilla tak percaya kata-kata Adi. Tak masuk akal Taufiq datang ke rumahnya. Lagipun mana Adi kenal Taufiq. Padanya Adi sengaja nak mempermainkan dia.

“Duduklah Taufiq. Makan sekali.” Pelawa Encik Azril.

Apabila Encik Azril mempelawa begitu baru Nadilla berpaling. Hampir tersembur air milo di dalam mulutnya ketika matanya terbeliak memandang Taufiq sebetulnya berdiri di belakangnya bersama Adi. Beberapa kali dia mengerlipkan matanya untuk memastikan sesungguhnya Taufiq secara fizikal di hadapannya.

“Orang cakap tak nak percaya. Nasib baik tak tersembur. Duduklah abang Taufiq.” Adi yang tadinya duduk di sebelah Nadilla mengalihkan tempat duduknya ke sebelah Tiya, kakak iparnya. Secara tidak langsung memberi tempat duduk di sebelah Nadilla itu pada Taufiq.

“ Maaflah kalau kedatangan saya tersalah masanya. Menganggu ke ni?” Taufiq bertanya namun tetap duduk di sebelah Nadilla.

“Tak adalah menganggu. Kami baru nak sarapan. Kamu dah sarapan ke belum?” Ramah pula Encik Azril dengan jejaka yang baru di kenalinya dengan nama Taufiq ini.

“Belum pak cik.” Jawab Taufiq dengan wajah segan-segan kucing.

Nadilla macam nak hantuk-hantuk je kepala Taufiq. Tak tahu malu betul Taufiq menjawab begitu di hadapan keluarganya. Apalah yang ada dalam otak lelaki itu. Silap Nadilla juga, lupa Taufiq ni memang lelaki tak tahu malu.

“Kalau macam tu marilah makan sekali. Nadilla, pergilah ambil pinggan dan cawan untuk Taufiq.” Kedengaran suara Tiya memberi ‘sokongan’ moral pada Nadilla untuk menjadi calon isteri terbaik. Aril di sebelah isterinya itu sudah senyum mengusik.

Nadilla bangun mengambil pinggan dan cawan buat Taufiq. Saja dia melengah waktu di dapur. Saat dia kembali ke meja, seluruh ahli keluarganya sudah berkenalan secara tidak rasmi dengan Taufiq. Adi siap panggil abang Taufiq lagi. Sangat tidak cukup zat adiknya seorang ini.

**********

Nadilla mahu tidak mahu. Rela tidak rela. Dia terpaksa juga memahukan dan merelakan kehadiran Taufiq di rumahnya. Keluarganya sememangnya sudah dapat menerima kehadiran lelaki itu. Kalau siap abah dan abangnya boleh mengajak Taufiq pergi memancing bersama mereka. Adi pula boleh nak mengajak Taufiq merempit dengan dia keliling kampung. Nadilla betul tak faham. Kenapalah keluarganya cepat saja menerima Taufiq?

Dalam dia duduk termenung memikirkan jawapan yang belum tentu ada itu. Taufiq balik dengan membonceng motor adiknya. Adi tu tak padan kecik, tapi mampu juga membawa Taufiq memboncengnya. Dah macam menara maxis dengan KLCC dah.

“Balik dari mana adik?” Nadilla bertanya pada adiknya. Takkan nak tanya Taufiq pula kan? Wajiblah lelaki tu tak tahu ceruk kampong dia ni.

“Dari warung Mak Limah. Makan cendol abang Pyan.” Selamba Adi menjawab. 

Nadilla yang mendengar pula rasa macam nak masuk ICU. Aduh adik kesayangan dia seorang ni. Tak ada tempat lain ke nak bawa Taufiq tu merayau. Kenapa warung Mak Limah yang menjadi pusat penyebaran berita sensasi itu juga dia bawa. Lepas ni sah-sah kecoh satu kampung.

“Kenapa adik bawa kat situ?” 

“Dah nak ajak abang Taufiq makan cendol abang Pyan jadi haruslah pergi situ.”

“Habis Mak Limah tak tanya apa-apa ke?”

“Tanya juga siapa abang Taufiq.” 

“Habis tu Adik jawab apa?” 

“Adik jawablah bakal tunang akak.” Jawab Adi.

Jawapan yang membuatkan Nadilla terduduk. Betul-betul terduduk di beranda rumah mereka. Taufiq yang sedari tadi mendengar perbualan dua adik beradik tu terus merapati Nadilla yang sudah terduduk. Dia memapah Nadilla bangun semula.

“Okay tak ni?” Taufiq pantas bertanya pada Nadilla. Risau tiba-tiba gadis itu terduduk di lantai. Macam di tiup angin Tsunami. Nadilla hanya mengangguk tanda dia okay.

“Kenapa adik jawab macam tu?” Guman Nadilla geram. Nak marah, Taufiq pula di sebelahnya. Nanti kecil pula hati lelaki di sebelahnya ini.

“Dah memang betul. Nak cakap apa lagi. Apalah akak ni.” Adi buat muka tak bersalah terus melangkah masuk.

“Adik tu memang sebab tu adik boyfriend kesayangan Mak Limah.” Laung Nadilla geram. Melepaskan sakit hatinya pada Adi.

“Apa kes ni?” Taufiq ingin tahu. Kenapa Nadilla nampak marah sekali dengan Adi. Pada Taufiq tak ada pun salah Adi. Malah Adi itu baik budaknya kerana sudi mengajak dia mengenali kampong mereka.

“Tak ada apa-apalah.” Balas Nadilla dalam kegeraman. Pantas dia masuk meninggalkan Taufiq sendirian. Kalau Taufiq nak masuk pandailah dia masuk sendiri lagipun kan tadi abah dia dah berpesan kat lelaki itu suruh buat macam rumah sendiri.

4 comments:

Miss Kira said...

hahahaha

MaY_LiN said...

amboi..
da jadi pusat buruk band lak warung mak limah tu

Anonymous said...

wahai si penulis novel: kenapa nk bebas dlm cinta? bukankah kita memerlukan cinta dlm hidup, memerlukan org utk disayangi dan disayangi...biar tambah rencah dlm kehidupan ini..memg kdg2 terasa pahitnya

iman said...

Wahai dia pengkomen tak bernama, Cinta di mata ini adalah cinta yang memberi kita kebebasan untuk jadi diri sendiri... Cinta yang membuatkan kita bebas untuk merasa apapun perasaan.. bukan cinta yang hanya membuatkan kita rasa di perlukan dan bukan cinta yang hadir bila masanya kita hanya memerlukan tapi cinta yang bebas untuk kita memilih garam, gula dan rempah untuk kita adunkan dalam selaksi cinta kita... Pendapat iman jelah...