BAB 2
Hanni keluar dari studionya di jalan Ampang. Hanni
berjalan menuju ke keretanya yang di pakir di hujung blok bangunan kedai
studionya. Dia perlu pergi ke satu tempat hari ini. Tempat yang dia paling
benci, tapi dia perlu jejaki hanya kerana hari ini adalah hari lahirnya.
Sambil berjalan dia membelek beg kameranya. Takut
kalau ada apa-apa yang tertinggal. Hari ini selepas dia ke tempat itu, dia tahu
dia perlu mencari ketenangan. Dan ketenangan itu akan datang kalau dia pergi
mencari shot-shot yang cantik untuk koleksinya.
Syukur di dalam hidupnya sentiasa terasa suram,
Allah berikan dia peluang untuk berkerja dalam bidang yang dia minati. Bidang
jurugambar ini kalau tiada kesabaran, tak mungkin boleh bertahan. Namun berkat sabarnya dan kerja kerasnya.
Alhamdulillah setakat ini rezekinya murah. Studio dan kedai gambarnya sudah di
kenali ramai.
Ketika Hanni baru menyimpan beg kameranya di dalam
pintu sebelah pemandu, sebuah kereta melaluinya. Dia kenal sangat pacuan empat
roda itu, milik Iskandar kekasih hati Sara. Mata Hanni sempat menangkap wajah
gadis yang ceria tersenyum di sebelah Iskandar yang memandu tadi. Hanni
menggeleng kepalanya perlahan berkali-kali. Tak faham dia.
Apalah yang Sara nampak pada Iskandar sampai Sara
sanggup menerima buaya tembaga seperti itu. Lelaki seperti Iskandar tu pada
mata Hanni hanyalah tapikal lelaki yang berjaya dalam kerjaya tapi hampeh dalam
jati hidup. Terlalu leka dengan ego kejayaannya sampai lupa tata susila budaya
timur.
Kerana itu
jugalah Hanni memberi nama istimewa buat Iskandar iaitu ‘Mawas’. Memang sesuai
dengan Iskandar, seorang manusia yang berpelajaran tapi perangainya tak cukup
bertamadun. Kesian dunia sekarang. Sukar mencari khalifah yang boleh mendidik
dan membawa makmumnya ke jalan yang di redhai.
“Dahlah Hanni. Tak perlu nak sesakkan kepala.
Masalah kau selepas ini lagi besar. Baik kau pupuk kesabaran daripada
sekarang.” Hanni memarahi dirinya.
Ya, buat apa dia sibuk fikirkan tentang hal orang
lain. Sedangkan masalahnya sendiri tak selesai. Selepas ini dia perlukan
kesabaran yang lebih tinggi daripada segala-galanya.
Berdiri dihadapan rumah agam yang nampak indah
tetapi sunyi itu membuatkan Hanni mengeluh dan mengeluh lagi. Setiap kali dia
melangkah masuk ke kawasan rumah agam ini, hatinya tak akan senang. Jiwanya
terasa sesak. Sakit sekali. Tanpa siapa pun menyedarinya, setiap satu memori
pahit ketika menjadi penghuni sementara rumah ini dulu sentiasa menghantui
dirinya. Menjadi mimpi ngeri di malam harinya.
Kalau ikutkan hatinya, dia tak mahu menjejakkan
kaki ke rumah ini lagi. Tapi apa yang boleh dia lakukan, jika sudah diwasiatkan
oleh ibunya untuk menghantar surat pada Tuan Najwan. Namanya memang di binti
kan dengan nama lelaki itu. Tapi tak pernah sekalipun lelaki itu mengakuinya
sebagai anak. Jauh sekali hendak menerimanya.
Hanni tahu selama ini Tuan Najwan terpaksa
menerimanya kerana wasiat. Kerana maruah lelaki itu yang menjadi taruhan. Hanya
itu yang menjadi pengikat antara mereka. Kalau bukan wasiat. Kalau bukan kerana
maruah. Agaknya daripada dulu lagi Tuan Najwan sudah menghantarnya ke rumah
anak-anak yatim. Dengan berat hati Hanni mengetuk pindu mewah itu.
“Hanni...” Seperti tahun-tahun lalu, Mak Melah
yang merupakan pembantu rumah Tuan Najwan yang menyambutnya.
“Mak Melah.” Hanni terus menghulurkan salam untuk
bersalam dengan wanita yang banyak berjasa padanya itu. Tangan itu di cium
penuh hormat.
“Hanni sihat? Lama betul Mak Melah tak jumpa kamu.
Asyik telefon je. Mak Melah rindu.” Sekali lagi Mak Melah mendakap erat tubuh
Hanni. Erat. Dia rindu dengan Hanni. Gadis yang membesar di depan matanya.
“Sihat. Mak Melah sihat?” Hanni bertanya sambil
mencium manja pipi wanita itu. Dia kemudiannya menghulurkan sebuah beg kertas
untuk Mak Melah.
“Sihat. Mak Melah sihat. Apa ni? Kan Mak Melah dah
kata tak perlu bawa apa-apa untuk Mak Melah lagi. Cukup Mak Melah jumpa kamu.
Dapat tengok kamu sihat dan gembira. Semua tu dah lebih daripada cukup untuk
Mak Melah.” Mak Melah tak mahu menyambut huluran itu. Tahu apa yang ada dalam
beg kertas yang di bawa Hanni. Gadis itu tak pernah datang dengan tangan
kosong. Ada saja hadiah untuknya. Sampai dia naik segan hendak menerima lagi.
“Ini untuk Mak Melah. Ambillah. Hanni tak pernah
ada peluang hendak berjasa pada arwah ibu. Berilah peluang Hanni nak bermanja
dengan Mak Melah.” Pujuk Hanni.
“Dia ni pandai je buat Mak Melah rasa sayu.
Selamat hari lahir sayang. Mak Melah doakan kamu semoga bahagia dan hidup dalam
keberkatan Nya. Mari masuk. Hari ini Mak Melah dah siapkan makanan istimewa
buat Hanni.” Mak Melah menarik tangan Hanni untuk melangkah masuk.
“Terima kasih Mak Melah. Dia ada?” Hanni bertanya perlahan.
“Ada. Dalam bilik bacaan.” Jawab Mak Melah lemah.
Tahu siapa ‘DIA’ yang Hanni maksudkan.
“Hanni jumpa dia dulu. Nanti Hanni jumpa Mak Melah
ye.” Hanni perlu cepat menyelesaikan urusannya.
“Sabar sayang. Ingat, Allah S.W.T sentiasa bersama
orang yang sabar.” Pesan Mak Melah. Kesian dia dengan Hanni. Selalu jadi mangsa
majikannya. Dia risau kalau satu hari nanti kesabaran gadis itu akan sampai ke
tahap penamat. Waktu itu entah apa yang akan terjadi?
“Baik Mak Melah.” Hanni mengerti apa yang
dinasihatkan oleh Mak Melah.
Berhadapan dengan Tuan Najwan saban tahun tak
pernah menghantar perasaan mesra dalam dirinya. Yang kedinginan dan kebencian
saja yang mampu Hanni rasai daripada setiap perjumpaan itu.
Lima belas tahun. Kebencian itu tak pernah
berkurangan. Malah makin menebal dari masa ke semasa. Hanni cuba. Malah dia
sudah penat mencuba untuk mengubah kebencian. Sehingga akhirnya dia yang penat
sendiri. Penat yang mengajar dia untuk berputus asa. Rasa lelah yang
mengajarnya bahawa perasaan manusia tidak boleh diubah.
“Ini surat yang terakhir daripada arwah ibu buat
Tuan.” Hanni meletakkan sekeping sampul surat di atas meja kerja Tuan Najwan.
Sedikitpun lelaki tua itu tidak berganjak dari
membaca buku. Tak sepicing pun lelaki itu memandang ke arahnya. Seolah-olah
Hanni langsung tidak wujud di sini. Alah Hanni. Dah 15 tahun. Sepatutnya
perasaan itu sudah cukup lali dengan layanan sejuk beku Tuan Najwan.
Tapi kebenarannya, rasa sakit setiap kali tidak
dipedulikan itu tetap saja muncul. Setiap kali menerima layanan beku itu,
hatinya bak ais yang hancur berkecai menyembah bumi. Sakit dan perit. Kerana
Hanni tahu kehadirannya tidak di perlukan apatah lagi di hargai. Ada abah di
hadapan mata. Tapi dia tetap anak yatim piatu.
“Jangan risau Tuan. Ini kali terakhir saya akan
jejakkan kaki saya ke mari. Tanggungjawab saya dah berakhir di sini. Terima
kasih atas jasa Tuan membesarkan saya selama ini.” Ucap Hanni sebelum melangkah
keluar daripada bilik bacaan itu.
Ucapan terakhirnya. Ucapan selamat tinggalnya pada
Tuan Najwan. Pada keluarga Tuan Najwan.
2 comments:
Bila nak keluarkan novel ni? Tak sabar nak tunggu.
Letak lh full novel ni
Post a Comment