Wednesday, April 4, 2012

DAH JODOH 23


BAB 23


            “LEPAS sarapan ni Nasira pindah ke bilik Man ya. Bawa barang-barang kamu sekali.” Kenyataan yang keluar dari bibir Puan Hadiyah itu membuatkan suapan Nuqman dan Nasira terhenti dengan sendirinya pada pagi itu.
Nuqman dan Nasira masih memandang wajah ibu mereka dengan pandangan tidak percaya. Tak ada angin tak ada rebut tiba-tiba pagi ini setelah berbulan mereka selesa dengan aturan hidup mereka kini, arahan itu di keluarkan oleh Puan Hadiyah. Mahu tak tersentak limpa dan segala organ dalaman mereka. Wajib-wajiblah mereka terkejut. Kenapa tiba-tiba pagi ini, ketika sarapan pula tu, ibu mereka mengeluarkan arahan sebegitu. Selama ini tak pernah timbul pun persoalan begitu.
            “Bukan apa, mungkin tengah hari ini Mak Su kamu datang, Nasira. Esok kan sebutan kes kamu kat makamah, jadi ibu ajaklah dia bermalam kat rumah kita. Tak elok pula nanti kalau dia sampai dia nampak kamu berdua tidur asing-asing. Apa pula kata dia kan? Itu yang ibu nak Sira pindah ke bilik Nuqman.” Panjang lebar penjelasan Puan Hadiyah itu.
            Seketika Nuqman dan Nasira berpandangan dengan kerutan garis-garis curiga jelas di dahi mereka. Macam tak percaya pulak kan. Tapi hendak dibantah masing-masing terkunci lidah, terkelu bahasa. Bagaimanakah itu? Dalam paksa rela mereka mengangguk saja sebelum menyambung suapan yang lambat. Masih terasa berat lima tan mereka memikirkan kehendak Puan Hadiyah. Lagipun pening juga mereka memikiran entah sejak pula ibu tersayang mereka ni berkawan baik dengan Mak Su Nasira pula ni?
            “Sebelum ibu terlupa lagi. Nanti lepas dah kemas-kemas Sira pergi dengan Nuqman je ke pasar ye. Beli bekalan lebih sedikit. Yang istimewa sikit. Ibu ingat nak masak sedap-sedap masa Mak Su kamu datang nanti.” Tak dapat Nasira nafikan berapa terujanya wajah ibu mertuanya itu menanti kedatangan ibu saudaranya. Lebih teruja dari dirinya sendiri. Macam dah BFF, aka best friend forever tu pula gayanya ibu dan Mak Sunya itu. Musykil betullah.
            “Yelah bu.” Akur Nasira perlahan masih memikirkan kemusykilan tentang sejauh mana rapatnya ibu dengan Mak Su dia sendiri itu.
 Kini kesangsian itu di tambah pula dengan persoalan boleh ke Nuqman ni menjejak kaki ke pasar? Tadi waktu bersutuju dengan arahan ibu, Nasira tak terfikir pula. Kini didalam fikirannya terfikir persoalan dengan tanda soal yang besar. Boleh ke Nuqman ni di ajak ke pasar? Sedangkan selama dia menjadi penghuni rumah ini belum pernah dia melihat lelaki itu menjejakkan kaki ke pasar bersama dia dan ibu mertuanya. Bukankah lelaki itu hanya pandai makan dan mengarah je? Kalau setakat pergi Giant pun paling lama dua puluh minit tu boleh ke nak temankan dia beli barang basah untuk bekalan seminggu? Gasaklah ibu, kita tengok anak ibu nanti tahan ke tidak.


            SEPERTI yang Nasira sudah jangkakan. Nuqman nampak sangat ganjal ketika melangkah ke tempat yang sesak dan penuh bau-bauan seperti itu. Itulah tadi bila Nasira menyuruh dia menunggu je dalam kereta, Nuqman enggan. Konon-kononnya nak merasa pengalaman barulah. Dia yang ketinggalan zaman tak ke pasar tapi meletakkan ke pasar ini sebagai aktiviti yang baru saja di wartakan dalam rutin seharian. Sekarang ambik ni. Rasakan pengalaman yang barulah sangat ni. Ingat senang ke nak meredah di pasar basah macam ni? Ingat macam pergi pasar raya ke? Hendak hendak hari minggu macam ni pulak tu. Tentu-tentu saja ramai suri rumah-suri rumah membeli belah untuk bekalan mereka. Sesak.
            “Abang Lan, berikan Sira ikan kelapa ni dua kilo. Pilih yang segar-segar ye.” Nasira cepat membuat pesanan di gerai pertama dia hari ini. Sambil mulutnya ramah berbual dengan penjual yang dipanggil, tangan nasira turut ligat memilih yang ikan segar-segar.
            “Untuk Sira, pasti abang Lan pilih yang segar-segar punya. Sira datang sorang ke? Ibu tak datang sekali?” Ramah pula penjual itu bertanyakan pada Nasira. Nada menggoda pun ada.
            “Ibu tak datang abang Lan. Ada kat rumah. Mak Su nak datang petang ni, itu yang ibu menunggu kat rumah. Cukuplah ni bang. Berapa ye?” Nasira melayan je penjual itu berbual tanpa ragu. Cepat Nasira meminta hasil pilihannya itu ditimbang apabila merasakan bilangan ikan yang dia pilih itu cukup banyak.
Dia pun sudah terbiasa dengan mereka sebenarnya. Setiap minggu bertandang ke sini bersama ibu. Mahu tak biasa. Malah ada peniaga disini sudah cukup kenal hingga boleh bertanya khabar bagaikan saudara jauh. Kadang-kadang boleh berpesan-pesan barangan kalau minggu ini mereka tidak sempat membeli barang mentah itu disebabkan kehabisan stok. Di minta untuk disimpankan sedikit untuk minggu depan. Itulah ajaran ibu padanya agar sentiasa ramah dengan orang-orang disini. Bukan untuk mengambil kesempatan tapi mengikat silaturahim sesame manusia bak kata ibu.
            “Lah ye ke. Nanti kirim salam kat ibu ya. Hah, hari tu Sira cari ketam kan? Kebetulan hari ni abang Lang ada bawa, khas untuk Sira. Untuk Sira abang Lan carikan juga. Nak tengok tak?” Manis mulut Abang Lan memainkan kata.
Biasalah penjual yang hendak melariskan produk. Tapi tak pula dia sedar yang Nuqman mendengar tu dah panas telinga dibuatnya. Di dalam hatinya tak sudah menyumpah keberanian penjual itu mengayat Nasira dihadapannya pula tu. Mahu tak terbakar hati kawan mendengar.
            “Sira nak beli ketam ke?” Nuqman pantas mencelah. Telapak tangannya sengaja diletakkan di tengah belakang Nasira menunjukkan keintiman perhubungan mereka pada si penjual ikan itu.
            “Boleh juga.” Nasira membalas perlahan. Agak kekok dia dengan perubahan suara Nuqman yang tiba-tiba tegas itu. Malah perlakuan Nuqman juga sedikit aneh dimatanya. Apahal lah mamat ni? Agaknya terkena sindrom alergik pasar basah kot. Tiba-tiba je nak hangin.
            “Siapa ni Sira? Kawan ke? Tadi abang Lan ingatkan seorang. Berteman rupanya.” Usik Penjual itu selamba. Wajahnya masih manis walau ada kerutan keliru di dahinya.
            “Ini Nuqman, suami Sira.” Tanpa ragu Nasira mendedahkan pekara sebenarnya. Yelah, buat apa nak sorok-sorok kalau dah kenyataan kan. Lambat laun orang tahu juga.
            “Oh suami.” Itu saja keluar dari mulut penjual itu dengan bibirnya semakin melebar dengan senyuman. Fahamlah dia kenapa lelaki tadi tiba-tiba mencelah. Faham jugalah dia isyarat mata yang diberikan suami Nasira itu padanya. Cemburulah tu. Faham… Faham.


            NASIRA tak faham apalah yang Nuqman tak puas hati sangat dengannya. Sedari gerai pertama tadi, Nuqman kelihatan marah padanya. Sesekali bila dia diusik oleh penjaja lelaki tempat yang sudah biasa dia berurusan suara tegas Nuqman akan mencelah. Tangan lelaki itu pun sama naik dengan mulutnya. Kalau tak belakangnya menjadi tempat tangan Nuqman bersandar. Nuqman akan sengaja dekat-dekat dengannya hingga belakang tubuhnya saling bersentuhan dengan dada lelaki itu. Kalau nak romantik pun tengok tempatlah. Ini tempat macam ni dia nak buat hal, malu Nasira dengan penjaja-penjaja yang sudah kenal dirinya di situ,
            “Kena beli kat situ juga ke? Lepas ni kalau nak beli pun kita beli kat Giant je sudahlah. Giant pun ada jual kan ikan, sayur segala tu. Dah mesra semacam I tengok you dengan orang kat situ?” Suara Nuqman cukup mendatar memecahkan kesunyian antara mereka di dalam kereta yang sudah meluncur laju itu.
            “ Alah Giant memanglah ada jual tapi kadang-kadang tak segar sangat ikan sayur nya. Mahal pulak tu. Saya dah biasa berurusan dengan mereka kat pasar tu. Selama ni kan saya selalu temankan ibu membeli kat situ jadi dah mesralah. Mereka semua tu baik.” Terang Nasira tanpa rasa curiga. Masih belum dapat menangkap maksud di sebalik pertanyaan itu.
            “Yelah I tahu mereka baik. Tapi I tengok dah mesra sangat. Tengoklah tempat you beli ketam tu boleh lagi nak menjual minyak. Dia orang tak tahu ke yang you ni dah jadi isteri orang?” Luah Nuqman tak puas hati. Dah tak sembunyi-sembunyi dah.
Terkedu Nasira kerana buat pertama kalinya Nuqman macam menunjukkan dirinya cemburu. Betul ke mamat ni cemburu? Kalau nak menilai ayat tu, setelah tolak, tambah, darab, bahagi tu bunyinya memang macam cemburu. Adakah itu sebabnya Nuqman hangin semacam je tadi? Melebar senyuman Nasira. Suka.
            “Oh abang Lan. Dia bukan jual minyaklah awak. Dia tu memang ramah suka mengusik. Dah ada anak empat pun. Yang lain tu pun sama. Dia orang tu memang kuat mengusik, kalau saya datang dengan ibu pun, bukan saya je kena usik, ibu pun kena usik sekali.” Sedaya upaya Nasira menerangkan sambil menyembunyikan senyuman sukanya. Siapa tak suka kalau suami pandai cemburu. Itu bermaksud dia sayangkan kita? Iya tak?
            “Dia orang semua tu tak tahu ke yang you ni isteri orang?” Sekali lagi Nuqman bertanya hal yang sama. Nampaknya masih tak berpuas hati je cik abang seorang ni.
            “Tak.” Jawab Nasira jujur. Dah tak tahu nak mengelak macam mana. Jujur jelah. Kalau menipu kang, Nuqman dapat tahu di kemudian hari kan dah kantoi.
            “Habis tu selama ni you ikut ibu tu, dia orang tak tanya ke you siapa?” Semakin panjang urusannya Nuqman bertanya soal ini.
            “Tanya. Ibu kenalkan saya ni anak dia. Dahlah awak. Malaslah nak bincang soal ni. Lagipun lepas ni mereka tahulah saya isteri orang. Awak janganlah ambil hati sangat.” Akhirnya dengan malas Nasira menjawab sambil merayu agar persoalan ini terhenti di sini saja. Nasira suka kalau Nuqman cemburu tapi kalau dah sampai menyoal dia macam polis pencen ni itu yang dia malas nak melayan tu. Takut kalau di layan sangat boleh gaduh pula.
            Mengeluh Nuqman mendengar kata-kata Nasira itu. Masih tak puas hati dia dengan keterangan Nasira. Ingin bertanya tak sanggup pula nak menghampakan rayuan Nasira agar persoalan ini terhenti di situ saja. Dia tak mahu kalau dia ikutkan hatinya sangat bertanya lebih lanjut pada Nasira, akhirnya mereka pula bergaduh. Nanti tak pasal-pasal sebabkan hal kecil itu mereka bermasam muka. Biarlah balik ini Nuqman akan berbicara sendiri dengan ibunya soal ini. Ibunya pun satu adakah menantu di kata anak sendiri, kan orang lain dah salah anggap. Percuma je buka peluang kat orang lain mengusha isterinya ini. Lepas ni macam mana sekali sibuk dan malasnya dia, dia akan pastikan dia ada masa hendak mengikut Nasira dan ibunya keluar membeli di pasar itu. Tak mahu membuka peluang dah.

            NUQMAN membantu Nasira membawa hasil pembelian mereka tadi ke dapur. Usai meletakkan barang-barang itu diatas meja dapur yang sederhana besar itu, Nuqman menarik kerusi untuk melabuhkan punggungnya. Sebentar selepas dia selesa duduk, Nasira meletakkan segelas air oren dihadapannya. Perlahan-lahan dia meneguk air itu sambil matanya memerhati lagak ibu dan isterinya sibuk mengemas dan menyimpan bekalan untuk seminggu itu.
            “Ibu.” Nuqman memanggil ibunya meminta sedikit perhatian dari ibunya. Wajahnya yang sedia ketat itu semakin kelat nampaknya.
 Puan Hadiyah menoleh pada anak lelakinya itu dan memberi isyarat dia mendengar sebelum kembali melakukan tugasnya membersihkan ayam untuk dibuat juadah tengah hari ini. Tak tahu apa yang di anginkan sangat anaknya itu. Dari sejak sampai tadi tegang memanjang. Malas melayan, baik dia memikirkan apa yang hendak dimasaknya dengan ayam yang sedang dia bersih itu. Rasanya dia hendak membuat ayam masak merah, sayur kalian goreng dan sedikit sambal ikan bilis. Hidangan mudah sajalah memandangkan pagi tadi mereka semua dah makan nasi lemak buatan Nasira.
            “Kenapa ibu cakap Nasira ini anak ibu pada semua kat pasar tu? Nasira kan menantu ibu bukan anak ibu.” Tanpa helah, Nuqman terus bertanya langsung. Dah tak ada muka depan dah terus pergi ke isi-isi penting. Nasira yang sibuk menyusun barang didalam peti ais itu terus menoleh memandang Nuqman dengan pandangan tidak percaya. Berani sungguh lelaki itu bertanya macam tu.
            “Dah memang ibu anggap Nasira ni anak ibu, bukan menantu ibu. Lagipun sejak Nasira masuk rumah ni tak pernah pula ibu nampak kamu tu layan dia macam isteri kamu kalau benar dia menantu ibu.” Jawapan Puan Hadiyah itu cukup bernas hingga terkelu lidah Nuqman hendak menjawabnya. Nasira pun begitu. Mereka tak sangka selama ini diamnya ibu dengan karenah mereka, rupanya ibu hanya memerhati memendam rasa.
            “Man tahu itu bu. Tapi sepatutnya ibu maklumkanlah mereka yang Nasira ni isteri orang. Sekurang-kurangnya tak adalah lelaki-lelaki kat pasar tu berani nak mengusik dia. Ini tak, cara ibu ni macam nak bagi peluang je pada mereka kat luar tu pikat Nasira ni hah. Dahlah menantu ibu ni baik hati sangat kalau dah melayan orang.” Luah Nuqman tak puas hati. Memang dia tak puas hati sekarang ni. Dia boleh terima alasan Puan Hadiyah tapi hatinya masih tak gemar.
            “Memang pun ibu nak bagi peluang kat lelaki kat luar tu dekati Sira. Dah ibu tengok kamu tak perdulikan dia, jadi ibu hendaklah cari yang boleh jaga dia dengan betul. Yang boleh bahagiakan dia. Kan ibu dah cakap Sira ni macam anak ibu dah bukan menantu ibu. Kalau kamu tak layan dia dengan betul biar orang lain je bahagiakan dia. Ibu tak kan buat macam ni kalau kamu layan isteri kamu ni dengan sempurna.” Selamba Puan Hadiyah meluahkan rasanya. Tak dihirau wajah Nuqman dan Nasira yang sudah berubah 360 darjah. Nasira tak menyangka begitu tulusnya hati ibu mertuanya menyayanginya. Nasira terharu. Nuqman pula tak menduga, ibunya sanggup berbuat begitu. Nuqman kecewa.
            “Ibu?” Tinggi nada Nuqman. Tak terlintas dihatinya untuk meninggikan suara begitu tapi, kenyataan ibunya membuatkan dirinya terkejut lalu terlajak meninggikan suara buat pertama kali dalam sejarah hidupnya.
            “Awak.” Nasira pantas menegur Nuqman yang dirasakan berkasar dengan ibu mertuanya itu. Tak mahu kerana hal kecil macam ini Nuqman hilang pertimbangan pula.
            “Selama Man hidup bu, Sira akan tetap jadi isteri Man. Ibu tolonglah berhenti dengan agenda ibu tu. Man yang akan bahagiakan Sira bukan orang lain. Jadi tolonglah ibu mulai saat ini ibu dah tak perlu nak cari orang lain dah untuk Nasira ni. Nasira ni dah jadi hak orang. Sira tu hak Man ibu dan tetap akan jadi hak Man seorang.” Tegas Nuqman.
Meruntun suara Nuqman menegaskan dengan lembut tapi tekad pada ibunya tentang haknya pada Nasira. Merayu dalam diam agar ibunya tidak melanjutkan usaha mencari calon suami pada menantu sendiri sebelum dia sendiri berlalu pergi dari dapur tersebut. Takut tak mampu mengawal perasaan nanti.
            “Ibu.” Panggil Nasira setelah Nuqman berlalu. Ada yang ingin dia jelaskan pada ibu mertuanya itu.
            “Dah tak payah nak terangkan pada ibu. Ibu saja jelah cakap macam tu tadi Sira. Bukannya betul pun. Ibu tahu berdosa runtuhkan masjid orang. Masjid anak sendiri pula tu. Ibu nak tengok suami kamu tu cemburu ke tidak? Sayang kamu ke tidak? Tengok gayanya memang dia cemburu tu.” Terang Puan Hadiyah, sebelum sempat menantunya itu bersuara. Jadi pula tektik kali ini. Dapat dia mengorek perasaan anak mudanya itu.
Nasira tersenyum malu mendengar keterangan ibu mertuanya itu. Dia sendiri terharu dan tersangat suka apabila Nuqman berani berdiri untuk menegakkan keharmonian rumah tangga mereka di hadapan ibu mertuanya. Gembira sangat apabila Nuqman langsung tak menyembunyikan rasa cemburunya dihadapan ibu mereka itu. Gembira yang Nuqman tegas menjaga dirinya sebagai sesuatu yang berharga pada lelak itu. Gembira Nuqman menegakkan berkali-kali siapa dirinya pada lelaki itu.
“Sira minta maaf ibu kerana Sira, Nuqman tinggikan suara pada ibu. Ibu percayalah Nuqman tak bermaksud macam tu sedikit pun. Nanti Sira cakap dengan Nuqman.” Nasira dalam gembira itu sempat lagi memohon ampun dari ibunya tentang kebiadapan suaminya tadi. Takut kalau ibu berkecil hati dengan kelantangan suaminya. Nuqman ni pun satu. Kalau dah angin tak pandang kiri kanan. Dah macam tsunami dah semua je hendak di hentamnya.
“Dahlah. Ibu faham. Ibu tak kecik hati pun. Man tu anak ibu. Ibu faham dia. Dia tetap anak ibu yang baik. Dah jangan fikir lagi. Mari tolong ibu masak untuk tengah hari ni. Petang ni Mak Su kamu dah nak sampai” Puan Hadiyah terharu juga mendengar menantunya memohon maaf begitu.
Berusaha menyejukkan hatinya walaupun sebenarnya dia langsung tak ambil hati sikit pun dengan anaknya tadi. Sememangnya gadis ini menantu yang paling baik yang pernah dia harapkan untuk anaknya itu. Moga-moga apa yang dia rancangkan bersama Mak Su Nasira nanti menjadilah hendaknya.

11 comments:

Anonymous said...

Owhh.. Ada komplot rupanya.. Hahaha..
Haa.. Amek kau nuqmman!! Dok maen tarik tali sgt.. Da suka ckp je laaa.. Xkn nak tgu sira ckp dlu..
Makin beshh!!
~mizz acu~

Lieynaim mohd noor said...

wahh..cemburu jgk ye nuqman..sayang kat ibu terbaek la komplot 2... sis iman jgn la hentikan lagi DAH JODOH NIE..excited doah nie

kak nora said...

oohhhh bijak sungguh ibu n maksu...bestnye dpt mertua baik mcm neh...bila dh tido sebilik nnti sure nuqman tak nak pisah2 bilik lg lepas neh...eheheheee sronok sgt dah kaka neh...

Aida Sherry said...

abg Nuqman dah cemburu.... tak nak biarkan Sira terlepas dari tanggannya.... beruntung Sira dpt ibu mertua yg menyayanginya dan suami yg mula menerima kehadirannya.... moga selepas ini hubungan mereka akan bertaut.....

ezzaleya said...

heheheh geliga betul ibu Nuqman ni...
boleh pula buat komplot ..

Anonymous said...

Bagus juga ada komplot tu... deorang berdua harus ditolong, kalau tak...tak tahulah bila ibu nak dapat cucu...hahaha

~kak min~

Anor said...

Baru ibunya tau isi hati anaknya
terhadap isteri sendiri itu jeles
lain macam ye... n3 kali ni best
betul... ada org cemburu dkt isteri
sendiri yeah....

kak ida said...

yes..E3 yg akan menyebabkan mereka bersatu kot menjadi suami isteri bukan hanya diatas kertas putih dan bukan hanya verakad sahaja..
Akak tabik kat mak mertua sira dan mak su sira ngan plan dia org ni..nak harapkan mereka berdua..mmglah harapan aja..kan..
Akak rasa Nuqman mmg betui betui dah menyayangi sira setulus hatinya.. teruja nak tahu ..apa ek terjadi malam tu..bila mereka buat pertama kali nya duduk dan tidur sebilik..macam mana reaksi mereka berdua..

Anonymous said...

Hahaha..Nuqman sudah cemburu...best..best..best..cik writer nak lagi...cepat2 update ye...

nursya said...

iman nti check spelling blik yek...
mcm pelik jer perkataan 'ganjal' tu?
bknnyer janggal ker??

wah wah wah..
ibu nuqman nie ade komplot aper nie ngn mak su si nasira nie..
x sbr nk tau...

iman next n3 plzzzzz.....

NukSe said...

haha.. tau pun cemburu.. huhu best3..